
PETALING JAYA | 18 Mei 26 — Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, selain mengesahkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis khas di Petaling Jaya pada Ahad, selepas beberapa hari spekulasi mengenai hala tuju politik kedua-dua pemimpin tersebut.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, tindakan mengosongkan kerusi Parlimen dibuat bagi menghormati mandat rakyat dan mengelakkan isu lompat parti timbul selepas mereka meninggalkan PKR.
Menurut beliau, keputusan itu bukan bermaksud mengkhianati mandat rakyat kerana rakyat akan diberi peluang memilih semula wakil mereka melalui pilihan raya kecil.
Nik Nazmi pula menegaskan keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai perkara termasuk hala tuju perjuangan politik mereka selepas krisis dalaman PKR sejak pemilihan parti tahun lalu.
Kedua-dua mereka sebelum ini tewas dalam pemilihan PKR 2025, yang turut menyaksikan Rafizi kehilangan jawatan Timbalan Presiden manakala Nik Nazmi gagal mempertahankan kedudukan Naib Presiden parti.
Pada masa yang sama, Rafizi dan Nik Nazmi dijangka mengambil alih Parti Bersama Malaysia sebagai platform politik baharu mereka.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Fuziah Salleh memaklumkan parti menerima keputusan kedua-dua pemimpin berkenaan, selaras dengan Fasal 9(1)(c) Perlembagaan PKR yang menyebabkan keanggotaan mereka gugur secara automatik selepas pengisytiharan keluar parti.
Perkembangan itu dilihat bakal memberi kesan besar terhadap landskap politik negara, khususnya kedudukan PKR dalam Kerajaan Perpaduan menjelang kemungkinan berlakunya penyusunan semula blok politik menjelang PRU16. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.