Sultan Selangor Titah Wakil Rakyat DAP Hayati Rukun Negara

SHAH ALAM | 19 Mei 26 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan semua wakil rakyat Negeri Selangor supaya memahami serta menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara demi menjaga perpaduan dan keharmonian negara.

Menerusi satu kenyataan media bertarikh 19 Mei 2026, baginda memaklumkan telah berangkat ke Dataran Selangor bagi melihat sendiri plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.

Menurut baginda, plak monumen tersebut dibina dan dipasang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bersama tempat duduk untuk pengunjung, dengan kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh baginda sendiri.

Sultan Sharafuddin bertitah, pembinaan plak berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sejarah kelahiran Rukun Negara susulan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Baginda menjelaskan, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan ketika itu telah merundingkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia.

“Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia,” titah baginda.

Dalam masa sama, baginda turut menyeru semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor supaya hadir sendiri ke Dataran Selangor untuk membaca serta memahami maksud Rukun Negara yang tertera pada plak monumen tersebut.

Kenyataan itu turut menyentuh secara khusus wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, yang disarankan hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati makna Rukun Negara.

Baginda bertitah, langkah itu penting bagi memastikan semua pihak menghormati kedaulatan institusi Raja serta menjaga adab, kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Bulan lalu, ketika perbahasan di Dewan Undangan Negeri Selangor, Wong menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan menyatakan bahawa isu itu menyentuh hak kesaksamaan bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sementara Liu pulau mempersoalkan mengapa pemimpin kanan DAP tidak menghadap Sultan Selangor, berunding dengan menteri besar, atau membangkitkan perkara itu di peringkat persekutuan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share