Hamzah Berpotensi Bentuk Blok Baharu, PN Berisiko Rugi Besar Jika Terus Tolak Hamzah – Penganalisis

KUALA LUMPUR | 19 Mei 26 – Perikatan Nasional (PN) berdepan risiko kerugian politik besar sekiranya terus menolak Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kumpulannya daripada menyertai gabungan itu, kata penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mazlan Ali.

Menurut beliau, Hamzah bukan lagi sekadar bekas pemimpin Bersatu biasa, sebaliknya mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu membentuk satu blok politik besar dan memberi kesan langsung kepada landskap pembangkang negara.

Dr. Mazlan berkata, Hamzah memiliki keupayaan menggerakkan satu force politik yang setaraf dengan pengaruh dimiliki Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli malah mungkin lebih besar.

“Hamzah ini bukan orang baru dalam politik. Beliau mempunyai pengalaman luas dan mampu menggerakkan satu gerakan politik besar yang mungkin setara Rafizi Ramli atau mungkin lebih daripada Rafizi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa Majlis Tertinggi PN memutuskan untuk tidak menerima sebarang keanggotaan baharu termasuk kumpulan yang dikaitkan dengan Gerakan RESET pimpinan Hamzah.

Menurut Dr. Mazlan, tindakan terus mengetepikan Hamzah boleh membawa padah kepada PN kerana bekas Setiausaha Agung Bersatu itu masih mempunyai kelompok penyokong yang besar, khususnya daripada bekas pimpinan dan akar umbi Bersatu sendiri.

Katanya, jika terus ditolak, Hamzah berpotensi mencari platform politik lain termasuk menyertai UMNO atau membentuk gerakan politik baharu yang akhirnya akan menjadi pesaing langsung kepada PN.

“Kalau Hamzah masuk UMNO, itu bermakna beliau akan melawan PN pada masa depan. Kalau beliau tubuh gerakan sendiri pula, ia boleh memecahkan undi pembangkang,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu amat berbahaya kepada PN terutama menjelang pilihan raya akan datang kerana perpecahan undi pembangkang boleh memberi kelebihan besar kepada kerajaan.

Dr. Mazlan turut berpandangan keputusan PN ketika ini bukan penolakan mutlak, namun kegagalan mengurus hubungan dengan Hamzah dan kumpulannya boleh mencetuskan implikasi politik lebih besar pada masa depan.

“Saya khuatir jika Hamzah dan penyokong-penyokongnya terus diabaikan, beliau akan mencari alternatif lain yang akhirnya membawa kerugian kepada Perikatan Nasional sendiri,” katanya.

Dalam mesyuarat Perikatan Nasional Pusat baru-baru ini, PN menolak permohonan penyertaan empat buah parti Melayu Islam untuk menyertai blok mereka. Penolakan ini didakwa berkaitan salah sebuah parti yang akan diambil alih oleh Hamzah, penolakan tersebut bagi menghalang penyertaan Hamzah ke dalam PN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share