
KANGAR, 26 DIS 25 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendakwa kemelut politik di Perlis mendedahkan kelemahan kepimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, termasuk kegagalan membaca situasi serta ketiadaan usaha awal bagi meredakan krisis yang berlarutan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Wan Saiful yang baru-baru ini dipecat oleh BERSATU berkata, apa yang berlaku di Perlis bukan isu yang mengejutkan, sebaliknya telah lama bergolak namun dibiarkan tanpa pengurusan politik yang teratur.
“Bagi saya, apa yang berlaku di Perlis sekali lagi melambangkan kelemahan Muhyiddin dan orang sekelilingnya. Beliau bukan sahaja gagal membaca suasana, malah tidak berbuat apa-apa untuk mencari penyelesaian awal,” katanya.
Menurut Wan Saiful, kegagalan tersebut memperlihatkan kelemahan kepimpinan di peringkat tertinggi parti, terutama ketika negeri itu memerlukan pendekatan berhati-hati yang mengambil kira realiti politik tempatan serta sensitiviti institusi Istana.
Beliau turut mengecam tindakan pihak tertentu dalam parti yang didakwa cuba mengalihkan tanggungjawab kepada Timbalan Presiden BERSATU, Hazah Zainudin susulan krisis berkenaan, satu langkah yang disifatkannya tidak wajar dan mengelirukan.
“Kalau semua bebanan hendak diserahkan kepada Timbalan Presiden, adakah Presiden hanya menjadi boneka?” soal beliau, merujuk kepada usaha mengaitkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dengan perkembangan di Perlis.
Wan Saiful juga membangkitkan amalan Muhyiddin yang didakwa sering berada di luar negara ketika parti berdepan krisis, termasuk insiden sebelum ini melibatkan peletakan jawatan Bendahari Perikatan Nasional.
Selain itu, beliau mempersoalkan sama ada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pernah bermesyuarat secara serius untuk menangani situasi di Perlis, atau sebaliknya membiarkan keadaan terus berlarutan.
Mengulas laporan bahawa BERSATU didakwa menghantar nama calon Menteri Besar Perlis, Wan Saiful berkata tindakan sedemikian, jika benar, hanya akan mengeruhkan hubungan dengan PAS dan mencerminkan kegagalan presiden parti menjaga setiakawan dalam Perikatan Nasional.
Menurutnya, PAS telah mengambil pendirian tegas dan kini tindakan seterusnya berada di tangan Muhyiddin bagi menunjukkan sama ada beliau benar-benar komited kepada prinsip setiakawan atau sekadar membiarkan krisis berterusan.
“Jika BERSATU gagal menunjukkan pendirian yang jelas dan bertanggungjawab, ia bermaksud presiden memberi restu kepada keadaan ini,” katanya.
Wan Saiful menegaskan bahawa kemelut politik di Perlis sepatutnya ditangani lebih awal dengan kepimpinan yang berfungsi, bukannya dibiarkan sehingga mencetuskan pertikaian terbuka dan cubaan saling menyalahkan dalam parti.
Terdahulu, Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan, berkuat kuasa semalam.
Laporan media sebelum ini mengatakan bahawa tiga adun PAS bersama lima adun BERSATU telah menyerahkan nama calon menteri besar bagi menggantikan Menteri Besar PAS Mohd Shukri Ramli.
Namun demikian, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan mengumumkan pemecatan keahlian tiga Adun PAS tersebut.
Media sebelum ini melaporkan lima ADUN Bersatu yang didakwa turut menandatangani SD tersebut ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).
Hingga berita ini dilaporkan, parti BERSATU belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berhubung nasib 5 wakil rakyat mereka itu. Muhyiddin ketika ini dikatakan berada diluar negara bersama keluarganya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.