
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berpandangan Dong Zong dan sekutunya sepatutnya memberi tumpuan memperkasakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC), bukannya terus mendesak pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC).
Menurut beliau, SJKC dan SMJKC merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang sah serta selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan.
“Sepatutnya Dong Zong dan sekutunya memperkasakan SJKC. Jadikan SJKC dan SMJKC sebagai sekolah pilihan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di facebook.
Beliau berkata, usaha memperkukuh sekolah aliran tersebut wajar disokong kerana institusi berkenaan berada dalam kerangka rasmi pendidikan negara.
“Saya akan sokong penuh usaha mereka kerana SJKC dan SMJKC adalah sebahagian sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.
Dr Anuar turut menegaskan bahawa pendiriannya menolak pengiktirafan UEC tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman seperti yang sering didakwa pihak tertentu.
Sebaliknya, beliau menegaskan penolakan terhadap UEC dibuat atas faktor dasar pendidikan negara yang perlu dipertahankan.
“Saya tolak iktiraf UEC bukan kerana isu kaum. Saya tolak iktiraf UEC kerana ia bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika isu berkaitan laluan khas lepasan UEC ke institusi pengajian tinggi awam kembali mencetuskan perdebatan dalam kalangan ahli akademik, pertubuhan pendidikan dan pemain politik.
Perbahasan mengenai UEC terus menjadi isu sensitif kerana melibatkan persoalan dasar pendidikan, identiti nasional serta kedudukan sistem pendidikan kebangsaan.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.