
PUTRAJAYA | 5 Okt 26 – RM314 juta kutipan hasil kerajaan masih belum dipindahkan kepada Kementerian Pengangkutan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026, persoalan yang kini menuntut penjelasan MYEG dan Zetrix AI mengenai apa yang berlaku terhadap kutipan tersebut sepanjang tempoh berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah RM314 juta itu merupakan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan bagi tempoh tersebut.
Loke turut menegaskan tunggakan itu bukan berlaku selama tiga tahun seperti yang dilaporkan sebelum ini, sebaliknya bermula pada Mei tahun ini.
“Tunggakan ini bermula bulan Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lalu sahaja, bukannya tiga tahun,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini.
Menurut Loke, sebelum Mei lalu memang pernah berlaku tunggakan tetapi ia diselesaikan selepas notis peringatan dikeluarkan. Namun, tunggakan yang kini berjumlah RM314 juta itu melibatkan tempoh bermula 19 Mei hingga 30 September.
Kerajaan sebelum ini telah mengeluarkan 35 notis peringatan selain mengadakan empat sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan penyelesaian terhadap tunggakan berkenaan.
Lebih menarik, pada 21 Ogos lalu, syarikat berkenaan menyerahkan cek bertarikh 30 September bernilai RM231 juta bagi menyelesaikan sebahagian tunggakan.
Bagaimanapun, Loke berkata cek berkenaan tidak diproses apabila dikemukakan pada 30 September.
“Namun apabila cek itu dikemukakan untuk diproses pada 30 September, pihak bank tidak memprosesnya atas arahan daripada syarikat itu sendiri,” katanya.
Susulan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung MYEG dan Zetrix AI sebagai ejen pemungut hasil berkuat kuasa 5 Oktober sehingga keseluruhan tunggakan dilunaskan.
MYEG, yang kini dikenali sebagai Zetrix AI Berhad, merupakan syarikat teknologi swasta tersenarai di Bursa Malaysia yang telah lama terlibat dalam penyediaan perkhidmatan e-Kerajaan.
Melalui perkhidmatan yang diberikan kepada kerajaan, MYEG bertindak sebagai salah satu saluran bagi urusan JPJ termasuk transaksi berkaitan lesen, cukai jalan dan bayaran tertentu.
Dalam konteks isu semasa, syarikat itu bertindak sebagai ejen pemungut hasil bagi pihak JPJ dan bukannya pemilik kepada kutipan tersebut.
“Mereka hanya ejen pemungut (bagi JPJ). Ini bukan wang mereka. Ini wang pembayar cukai ataupun pembayar lesen yang mereka kutip bagi pihak JPJ. Tegas Loke.
Justeru, persoalan yang kini timbul bukan sekadar mengapa MYEG dan Zetrix AI digantung, tetapi apa sebenarnya berlaku kepada RM314 juta kutipan hasil kerajaan sepanjang tempoh 19 Mei hingga 30 September, mengapa jumlah tersebut masih belum dipindahkan dan mengapa cek RM231 juta yang diserahkan untuk menyelesaikan sebahagian tunggakan akhirnya tidak diproses.
Kerajaan juga dijangka mengambil tindakan perundangan bagi mendapatkan semula keseluruhan jumlah berkenaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.