
KLANG | 21 Mei 26 — DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, menegaskan bahawa usaha memperkukuh perpaduan orang Melayu dan umat Islam tidak seharusnya disalah tafsir sebagai tindakan memusuhi kaum lain di negara ini.
Menerusi titah perutusan sempena Hari Raya Aidiladha 2026, baginda menekankan bahawa kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling hormat-menghormati.
“Beta mahu menegaskan bahawa perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan semua kaum lain di negara ini,” titah baginda.
Dalam masa sama, Sultan Selangor turut mengingatkan semua pihak supaya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam membuka ruang kepada pihak luar mengambil kesempatan sehingga melemahkan kedudukan bangsa di tanah air sendiri.
Baginda bertitah, sejak kebelakangan ini terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Menurut baginda, keadaan itu tidak sepatutnya berterusan kerana rakyat mengharapkan kepimpinan politik yang mampu membawa kestabilan dan perpaduan, bukannya pertikaian berpanjangan.
“Mengambil teladan daripada itu, Beta berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata,” titah baginda lagi.
Baginda turut menyeru semua kaum dan agama di Malaysia supaya saling menghormati sensitiviti antara satu sama lain demi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.
Titah tersebut dilihat sebagai peringatan penting institusi diraja terhadap landskap politik semasa yang semakin tegang, khususnya melibatkan isu perpaduan Melayu-Islam dan hubungan antara kaum di negara ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.