
KUALA LUMPUR — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman menyifatkan PAS sebagai parti masa depan Malaysia ketika Barisan Nasional (BN) dilihat semakin bercelaru dan gagal dipulihkan akibat krisis kepimpinan serta hala tuju yang tidak konsisten.
Menurut beliau, Umno yang pernah menjadi tunjang pemerintahan negara selama lebih 60 tahun masih gagal matang dalam mengurus gabungan, malah didakwa mementingkan kelangsungan sendiri sehingga mengabaikan rakan tradisi seperti MCA dan MIC.
Kecenderungan Umno membina jajaran baharu bersama Pakatan Harapan, khususnya DAP, disifatkan sebagai punca utama BN semakin lemah. Situasi itu diburukkan lagi apabila Umno mengambil kesemua jawatan menteri, sekali gus memperlihatkan layanan tidak adil terhadap MCA dan MIC.
Dalam konteks itu, Haim Hilman berpandangan MCA dan MIC mempunyai masa depan lebih baik sekiranya bersama Perikatan Nasional (PN). MIC dilaporkan telah memohon menyertai PN, manakala MCA digesa membuat keputusan sama sebelum PRU16 bagi membina semula imej dan kepercayaan rakyat.
Menjawab kebimbangan terhadap PAS, beliau menegaskan parti itu konsisten memperjuangkan keadilan, tadbir urus berintegriti serta pembangunan negara berteraskan nilai Islam dan sejagat, tanpa pernah menindas masyarakat bukan Islam.
Beliau turut menekankan PAS hari ini dipimpin gabungan agamawan dan profesional, mencerminkan parti yang dinamik dan progresif serta bersedia memimpin negara majmuk secara harmoni.
“PN menawarkan platform terbaik untuk masa depan Malaysia. PAS yakin kerjasama bersama MCA dan MIC mampu membentuk pentadbiran lebih stabil, cekap dan berwibawa demi kesejahteraan rakyat,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.