Isu perpaduan sering dikaitkan dengan hubungan etnik. Dimensi-deminsi asas dalam hubungan etnik adalah etnik, ras, agama, budaya, bahasa, kelas sosial dll.
Dimensi-dimensi ini disering dianggap sebagai pembentukan maruah, jati diri dan identiti yang berdiri sendiri dan juga terpisah, terasing dan terputus di antara etnik-etnik lain.
Masyarakat yang memiliki komuniti-komuniti seperti itu dikategorikan sebagai majmuk yang anggota pelbagai komuniti itu tidak diikat dengan nilai kebersamaan kecuali bertemu di pasar untuk pertukaran barangan yang diperlukan. Hubungan di antara individu, kumpulan dan komuniti di aras sosial, ekonomi dan sosial berinteraksi dalam kotak kumpulan etnik masing-masing.
Datang 31 Ogos 2026 nanti kita akan merekodkan hari kemerdekaan ke-69. Tetapi sudah hendak menghampiri 70 kemerdekaan, kehidupan bersama dalam kepelbagaian dalam kalangan anggota-anggota dan kepimpinan parti-parti politik dan NGO masih bermain dengan politik ras dan etnik yang bukan bicara perpaduan, kemajuan dan kesatupaduan bangsa.
Setiap kali lidah dan hujung jari digunakan untuk menyatakan dan menulis dalam media sosial, kesannya rakyat Malaysia pelbagai etnik mereka berisko apabila berhubungan dengan etnik-etnik lain akibat kutukkan, penghinaan, memaksa kumpulan lain dengan kepentingan perayaan agama dan budaya mereka dsbnya.
Ini menjadikan perbezaaan membawa perpecahan dalam masyarakat dan bukan membina masyarakat kepelbagaian bertolak ansur, muafakat dan cintakan kedamaian dalam kerangka keterikatan bangsa bersama.
Naratif diangkat tentang warisan budaya hanya yang berasal dari warisan budaya penjajah. Naratif tentang kemajuan ekonomi hanya kumpulan mereka dan yang lain malas dan tidak produktif. Naratif sejarah tempatan berteraskan perjalanan sejarah dalam jangka panjang yang memaparkan kewujudan peradaban Alam Melayu yang memayungi peradaban-peradaban lain dalam kepelbagaian disenyapkan.
Naratif sejarah mencerita sumbangan ekonomi terkini dalam dunia kapitalis pasaran dan neoliberal yang manusia dianggap samarata hak dan memiliki kebebasan.
Golongan yang berfikiran pasaran neoliberal ini terlupa walhal, dengan sistem sosio-politik kesultanan Melayu and Raja-raja di Alam Melayu, walaupun berpindah randah kekuasaan pentadbiran politik mereka, menjadi institusi politik yang mengatur perdagangan, kehidupan dan keselamatan di Tanah Melayu.
Sistem sosio-politik kesultanan Melayu mentadbir dengan mengunakan bahasa Melayu, budaya Melayu dan Islam sebagai pengikat bangsa rumpun Melayu dalam kerangka bangsa perantau dan keluarga besar di Alam Melayu.
Pemerintahan-pemerintahan kesultanan dan Raja-raja ini yang telah membawa kestabilan dan kemajuan komersial telah menjadikan tarikan perdagangan dan penjajah yang mahu menguasai dan menakluk kawasan ini dari kalangan Portugis, Inggeris, Belanda, Perancis, Jerman, Sepanyol, Amerika dll.
Kedatangan penjajah Portugis dan, terutama, Inggeris, menakluk, mentadbir dan melabur di Tanah Melayu dengan bermatlamat mengaut keuntungan sebagai kapitalis, berjiwa imperialis dan berpaksikan ideologi rasisme yang meletakkan apa yang ada kepada mereka sehanya terbaik, terbetul, terbenar dan bertamadun.
Penjajahan Portugis dan Inggeris di Tanah Melayu ditentang dengan kerjasama oleh negeri-negeri dari Acheh, Pasai, Riau, Pelembang di Sumatera dan Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pattani dll di Tanah Melayu. Kubur-kubur pahlawan-pahlawan dan syuhada ini boleh ditemui di Melaka, Kelantan, Pattani dsbnya.
Namun kekuatan ketenteraan, senjata api dan dokongan kewangan kapitalis yang melabur di Tanah Melayu telah menguatkan kedudukan Inggeris yang dalam perjanjian Inggeris dengan kesultanan Melayu mereka mentadbir dan membangun negeri dan raja menjaga kepentingan budaya dan agama Islam orang Melayu.
Untuk merasional-legalkan penjajahan mereka, didokumenkan yang tanah-tanah yang diambil beratus ribu ekar sebagai tidak diduduki orang tempatan dan jika diduduki pun mereka tidak usahakan dan menjadi tanah itu produktif.
Anak-anak watan yang dulu pedagang, nelayan, petani, berkebun, pelombong biji timah dsbnya dikatakan malas, kolot, mundur, separuh haiwan, tidak bertamadun dll.
Penghinaan ke atas orang-orang Melayu, membunuh Bahasa Melayu dengan penggunaan Bahasa Inggeris, sejarah berkisar penceritaan residen dan governor Inggeris, perjanjian dengan sultan untuk membangun negeri, menghapus kegiatan lanun dan perang perebutan takhta walaupun palsu dsbnya dan dijadikan bahan buku teks sekolah hingga ke hari ini di Malaysia.
Naratif ilmu kewatanan disembunyikan dan diangkat naratif penjajah yang membangun Tanah Melayu, membina pasarana pelabuhan, jalan-jalan raya, jalan keretapi, menjalankan tadbir urus negara baik didokongi institusi-institusi kekerasan senjata keselamatan, kehakiman, penjara, bank-bank, pendidikan dsbnya.
Inggeris lakukan ini untuk menjamin keselamatan, kestabilan dan tempat tarikan pelabur-pelabur asing dari barat. Tiada ada tindakan ini meletakkan anak-anak watan sebagai matlamat akhir projek-projek walaupun kerajaan dikuasai penjajah Inggeris menguna dana awam untuk membina dan membangun apa yang menguntungkan kepentingan ekonomi mereka.
Hingga kini orang Melayu dan di desa dipinggir dalam sistem pendidikan moden, diketepikan terlibat dalam sektor ekonomi perniagaan, pertanian komersial dan industri tempatan yang dikuasai orang Melayu dibunuh melalui perintah larangan.
Kepinggiran dalam institusi pemodenan ini, terutamanya ekonomi, telah menjadi orang Melayu terperangkap dalam struktur putaran keganasan kemiskinan hingga ke hari ini.
Buruh asing dari China dibawa masuk untuk melombong biji timah dan perniagaan di bandar dan dari India untuk menjadi buruh membina jalan raya, jalan keretapi dan buruh kasar di ladang getah. Buruh asing ini dijangka pulang ke negara asal mereka dan malahan buruh India ada tabung untuk tindakan itu.
-Bersambung Bahagian Akhir
Prof Dr Mansor Mohd Noor, Institut kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.