Pemuda PAS Dakwa Agenda “Malaysian Malaysia” DAP Semakin Terserlah

KUALA LUMPUR | 22 Mei 26 – Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hafez Sabri mendakwa agenda “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan DAP kini semakin jelas dilaksanakan melalui beberapa dasar dan keputusan kerajaan sejak parti itu menjadi antara blok paling dominan dalam Kerajaan Madani.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu, konsep kesamarataan yang dibawa DAP bukan sekadar menyentuh soal hak sama rata, tetapi didakwa turut mencabar asas utama negara termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi raja-raja Melayu, Bahasa Melayu serta dasar pendidikan dan kebudayaan kebangsaan.

Beliau berkata, pelbagai istilah seperti hak asasi manusia, keterangkuman, kepelbagaian dan pulangan ekonomi digunakan bagi merasionalkan tuntutan tertentu atas nama kesaksamaan.

“Setiap dasar kerajaan tidak boleh diluluskan secara simplistik atas nama kesamarataan kerana semua tindakan kerajaan mesti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta falsafah utama negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Hafez turut membangkitkan beberapa isu semasa yang menurutnya mencerminkan kecenderungan tersebut, antaranya penganjuran pesta rain rave oleh Kementerian Pelancongan, cadangan penternakan babi di Selangor, isu kemasukan lepasan UEC ke IPTA serta kontroversi berkaitan penjualan dan hidangan arak.

Beliau mendakwa tuntutan berkenaan bercanggah dengan kepentingan nasional dan asas kenegaraan yang dipersetujui sejak pembentukan Malaysia.

Dalam masa sama, beliau turut mengkritik beberapa pemimpin DAP yang didakwa semakin berani mencabar institusi negara termasuk melibatkan titah Sultan Selangor dan isu berkaitan hal ehwal Islam di Pulau Pinang.

Menurutnya, kekuatan politik DAP di Parlimen menjadi faktor utama parti itu semakin lantang membawa agenda tersebut.

“Jika kerusi DAP terus bertambah dalam pilihan raya akan datang dan mereka kekal dalam kerajaan, tidak mustahil agenda ini akan digerakkan dengan lebih agresif,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat khususnya pengundi supaya lebih berhati-hati dalam menentukan pilihan politik kerana ia bakal menentukan hala tuju negara pada masa depan.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berkata di facebook miliknya bahawa “Rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat,”.

Kenyataan tersebut dibidas pelbagai pihak dengan menyifatkan ianya bersikap biadab terhadap titah diRaja. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Dana NGO Untuk Politik Kini Jadi Budaya, Kata Mahasiswa PKR

“Ramai anak muda tak sedar pun apa yang mereka buat itu sebenarnya ada unsur rasuah dan politik wang. Sekarang ini ada trend besar, anak muda tubuh NGO, dan NGO ini akan bergerak bersama ahli politik tertentu. Ada dana yang masuk, dan akhirnya NGO itu digunakan untuk jalankan kerja parti.
Read More
Total
0
Share