
KUALA LUMPUR | 26 Mei 26 — Media melaporkan hanya sekitar 10 peratus daripada 56,000 pesawah di Kedah dilaporkan sudah memulakan aktiviti penanaman padi bagi musim ini susulan kebimbangan terhadap bekalan air dan peningkatan kos operasi.
Memetikt laporan Malaysiakini, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata kebanyakan pesawah di negeri jelapang padi itu masih menangguhkan penanaman walaupun musim penaburan benih kering lazimnya bermula antara April hingga awal Mei.
Beliau berkata, pesawah kini berdepan dilema antara risiko banjir akibat hujan berterusan dan kemungkinan kekurangan air ketika musim kering yang dijangka berlaku dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Walaupun hujan ketika ini, paras air di empangan terutama Empangan Muda belum cukup stabil untuk membolehkan pelepasan air dilakukan secara besar-besaran bagi tujuan pengairan sawah,” katanya dipetik sebagai berkata.
Laporan itu turut menyebut Empangan Muda antara kawasan paling terjejas akibat kemarau berpanjangan di utara Semenanjung dengan simpanan air dilaporkan merosot kepada 8.37 peratus.
Abdul Rashid turut memaklumkan sebahagian pesawah terpaksa menggunakan pam untuk mendapatkan air dari sungai berhampiran, namun langkah itu meningkatkan lagi kos operasi yang sedia tinggi.
Katanya, insentif seperti RM200 sehektar di bawah Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) masih belum mampu menyelesaikan masalah asas yang dihadapi petani termasuk kenaikan kos bahan api dan operasi ladang.
Situasi itu berlaku ketika Malaysia berdepan kebimbangan berkaitan keselamatan makanan negara serta kesan cuaca panas dan fenomena El Nino terhadap pengeluaran padi tempatan. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.