
KUALA LUMPUR | 26 Mei 26 — Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa istilah seperti “mullah” dan “teokrasi” sengaja digunakan oleh sarjana serta media Barat bagi memberikan gambaran negatif terhadap politik Islam.
Dalam satu kenyataan media bertajuk “Menyanggah Tohmahan PAS Autokratik”, beliau berkata istilah berkenaan menjadi sebahagian daripada propaganda Islamofobia yang semakin meluas pada masa kini.
Menurutnya, malangnya terdapat juga segelintir umat Islam yang terpengaruh dengan naratif tersebut tanpa memahami konsep sebenar pemerintahan dalam Islam.
“Para ilmuwan Barat sengaja memomokkan Islam dengan perkataan yang dikiranya memberi gambaran negatif, khususnya dalam agenda Islamofobia.
“Malangnya, terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta terhadap al-Quran terikut sama mencanangkan propaganda musuh terhadap Islam, antaranya jenama mullah dan teokrasi,” katanya.
Abdul Hadi menjelaskan istilah “mullah” asalnya berasal daripada perkataan Arab mawla yang merujuk kepada ilmuwan atau sarjana agama yang dihormati dalam masyarakat Islam.
Namun katanya, Barat sering menggunakan istilah itu secara negatif dengan menyamakannya seperti golongan paderi atau pemimpin agama yang menguasai pemerintahan secara mutlak.
Beliau turut mendakwa Iran sering dijadikan contoh oleh media Barat untuk menggambarkan sistem “teokrasi” bagi menakutkan masyarakat terhadap politik Islam.
Menurutnya, pengkategorian sedemikian gagal memahami struktur sebenar institusi keilmuan Islam yang mempunyai istilah tersendiri seperti faqih, mujtahid dan alim.
“Bahasa Arab memakai perkataan khilafah, al-mulk, al-imarah, al-sultan dan al-imamah bagi urusan negara, dan tidak ada perkataan mullah,” katanya.
Abdul Hadi turut menegaskan Islam tidak mengangkat pemimpin atau ulama sebagai individu suci yang mempunyai kuasa ketuhanan.
Sebaliknya katanya, sistem pemerintahan Islam berasaskan konsep syura, perbincangan dan tanggungjawab bersama dalam mentadbir negara.
“Islam berkonsepkan negara berperlembagaan yang tidak bertuhankan pemimpin bagi mentadbir urusan negara dalam segala aspek politik, ekonomi dan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan para nabi dan ulama dalam Islam tidak boleh dipuja seperti Tuhan serta tertakluk kepada prinsip nasihat, musyawarah dan keadilan.
Terdahulu, media melaorkan satu sumber BERSATU memberitahu Malaysiakini, PN tidak mengamalkan sistem pentadbiran “mullah” sebaliknya menyelesaikan sesuatu isu berbangkit secara konsensus.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi yang membuat kenyataan berhubung langkah PN di sebalik kedudukanya tidak memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan tertinggi gabungan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.