Dakwaan BERSATU Satu Fitnah, PAS Sedia Dedah Rekod Komunikasi Krisis PN

KUALA LUMPUR | 27 Mei 26 — Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan kenyataan Biro Politik BERSATU Pusat terhadap Setiausaha Agung PAS sebagai tidak tepat, mengelirukan dan berniat mencemarkan kredibiliti parti itu.

Beliau berkata, tuduhan kononnya PAS tidak memberi sebarang maklum balas sepanjang krisis politik yang berlaku adalah fitnah tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, PAS masih menyimpan rekod komunikasi terperinci melibatkan Setiausaha Agung PAS dan Setiausaha Agung BERSATU, malah bersedia mendedahkan rekod tersebut melalui platform yang lebih sesuai pada masa akan datang.

Ahmad Fadhli menjelaskan, mesej yang dihantar Setiausaha Agung BERSATU kepada Setiausaha Agung PAS pada 5 Mei 2026 hanyalah bersifat memaklumkan keputusan mesyuarat tergempar Biro Politik BERSATU Pusat.

Katanya, keputusan itu juga didakwa bertentangan dengan pendirian Perikatan Nasional yang telah dipersetujui bersama sebelum ini berhubung krisis politik di Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mendakwa BERSATU menghantar nama calon Menteri Besar Perlis tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.

Ahmad Fadhli juga menafikan dakwaan bahawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sengaja tidak hadir mengadap Raja Perlis pada 25 Oktober 2025 ketika kemelut Menteri Besar Perlis berlaku.

“Untuk rekod, tidak pernah Presiden PAS dititah untuk mengadap pada tarikh tersebut, mahupun pada mana-mana tarikh sebelum atau selepas kemelut Menteri Besar Perlis berlaku,” katanya.

Beliau turut membidas tindakan pihak tertentu yang didakwa cuba memindahkan kelemahan pengurusan organisasi sendiri kepada pihak lain bagi menutup kegagalan dalaman. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share