
KEPALA BATAS | 28 Mei 26 — Penggerak RESET Kepala Batas, Khaliq Mehtab menyifatkan kenyataan mantan setiausaha politik kepada presiden BERSATU, Marzuki Mohamad baru-baru ini sebagai tidak bertanggungjawab serta berunsur fitnah.
Menurut beliau, kenyataan tersebut dilihat sebagai cubaan untuk menutup kelemahan dalaman parti sendiri dengan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.
“Ini cuma cubaan menegakkan benang yang basah. Mereka tidak mahu melihat kelemahan sendiri, sebaliknya cuba menyalahkan orang lain untuk menutup masalah dalaman parti,” katanya ketika mengulas kenyataan berkenaan.
Khaliq turut mendedahkan bahawa Hamzah yang dikritik oleh Marzuki, adalah orang yang telah banyak berkorban membantu memastikan kelangsungan operasi parti melalui sumbangan peribadi.
“Kalau bukan sebab Hamzah yang banyak menyalurkan dana peribadi kepada parti, saya fikir parti itu sudah lama tidak mampu berfungsi seperti hari ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mendakwa kepimpinan parti terbabit semakin hilang pengaruh dan gagal mengekalkan keyakinan rakyat.
“Bersatu nampak gah pada nama sahaja, tetapi realitinya semakin hilang pengaruh dan mula berada dalam keadaan kelam-kabut sehingga terpaksa menuding jari kepada pihak lain,” ujarnya.
Mengulas dakwaan yang didakwa mengaitkan institusi istana dalam pertikaian politik semasa, Khaliq menegaskan perkara itu sangat sensitif dan tidak sepatutnya dijadikan bahan politik.
“Apabila melibatkan nama istana dan institusi diraja dalam pertikaian politik, perkara itu boleh menimbulkan implikasi serius termasuk isu berkaitan 3R.
“Institusi istana tidak sepatutnya diheret ke dalam kancah politik. Saya melihat kenyataan seperti itu sebagai tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terbuka agar tidak melanggar batas undang-undang.
“Saya nasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan, terutama apabila melibatkan pihak lain dan institusi negara,” katanya.
Terdahulu, Marzuki Mohamad dalam status facebook beliau mendakwa mendakwa Datuk Seri Hamzah Zainudin menggunakan nama PAS, UMNO dan Istana sebagai “modal politik” dalam gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden BERSATU itu.
“Hamzah menggunakan PAS, UMNO dan Istana sebagai modal untuk pecah-belahkan parti. Tujuannya satu sahaja. Supaya jawatan Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional diserahkan kepadanya di atas dulang emas,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.