
GOMBAK | 28 Mei 26 — Ketua RESET Gombak, Shafiq Halim mendakwa mantan setiausaha Muhyiddin, Marzuki Mohamad kebelakangan ini dilihat lebih cenderung mengeluarkan kenyataan berbentuk serangan peribadi terhadap Hamzah Zainudin berbanding membincangkan isu dasar dan hala tuju politik secara substantif.
Menurut beliau, perdebatan politik yang matang seharusnya tertumpu kepada idea, penyelesaian dan hala tuju negara, bukannya dipenuhi dengan serangan bersifat peribadi yang tidak membantu rakyat memahami isu sebenar.
“Rakyat hari ini mahu melihat perbahasan mengenai dasar, ekonomi dan masa depan politik negara, bukannya polemik peribadi yang berpanjangan.
“Malangnya, Dr Marzuki dilihat semakin kerap menyerang peribadi Hamzah Zainudin berbanding mengemukakan hujah politik yang lebih substantif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shafiq berkata, pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak matang, malah boleh menjejaskan kredibiliti perdebatan politik dalam kalangan pemimpin pembangkang sendiri.
Menurut beliau, kenyataan yang terlalu emosional dan defensif juga memberi gambaran seolah-olah terdapat usaha untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang sedang berlaku dalam BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).
“Politik memerlukan kematangan dan disiplin berhujah. Jika terlalu banyak serangan peribadi, rakyat akan melihat ia sekadar cubaan mempertahankan kedudukan politik tertentu,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menegur tindakan mengaitkan institusi diraja dalam polemik politik semasa yang menurutnya tidak wajar dijadikan bahan pertikaian politik kepartian.
“Institusi diraja perlu dihormati dan tidak sepatutnya diheret ke dalam konflik politik dalaman mana-mana parti,” katanya lagi.
Beliau berharap semua pihak kembali mengangkat budaya politik yang lebih berfakta, matang dan memberi fokus kepada kepentingan rakyat serta kestabilan politik negara.
Terdahulu, Marzuki Mohamad dalam status facebook beliau mendakwa mendakwa Datuk Seri Hamzah Zainudin menggunakan nama PAS, UMNO dan Istana sebagai “modal politik” dalam gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden BERSATU itu.
“Hamzah menggunakan PAS, UMNO dan Istana sebagai modal untuk pecah-belahkan parti. Tujuannya satu sahaja. Supaya jawatan Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional diserahkan kepadanya di atas dulang emas,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.