Wan Saiful Tempelak Pegawai Muhyiddin, Dakwa Presiden BERSATU Tak Jadi PM Tanpa Bantuan Hamzah

KUALA LUMPUR | 29 Mei 26 — Datuk Wan Saiful Wan Jan menempelak pegawai serta orang kanan Muhyiddin Yassin sambil mendakwa Presiden BERSATU itu mungkin tidak berjaya menjadi Perdana Menteri kelapan tanpa bantuan besar Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mantan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU itu berkata, cubaan Marzuki Mohamad menyerang Hamzah dengan pelbagai tuduhan hanya menunjukkan kelompok tertentu dalam parti sedang cuba menutup kelemahan sendiri.

Menurut beliau, Hamzah memainkan peranan penting ketika krisis politik 2020 termasuk mendapatkan sokongan Ahli Parlimen PAS dan UMNO bagi memastikan Muhyiddin memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Kenapa cuba sembunyikan hakikat bahawa tanpa Hamzah, Muhyiddin mungkin tidak menjadi PM8?” katanya dalam kenyataan bertajuk “Sokong Bawa Rebah”.

Wan Saiful turut mendakwa Hamzah menjadi individu yang membantu menyusun rundingan politik dengan beberapa pemimpin utama UMNO dan PAS ketika pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Katanya, Ahli Parlimen Larut itu juga banyak membantu operasi parti termasuk menggunakan dana sendiri bagi memastikan gerak kerja BERSATU dan Perikatan Nasional terus berjalan ketika parti berdepan tekanan politik.

Beliau turut membidas dakwaan bahawa Hamzah memperalatkan PAS dengan menegaskan parti Islam itu mempunyai pengalaman politik yang matang dan tidak mudah dipengaruhi mana-mana individu.

“Menuduh Hamzah mempergunakan PAS adalah bukti mereka menghidap denial syndrome yang serius,” katanya.

Dalam masa sama, Wan Saiful mendakwa naratif kononnya Hamzah tidak mengenang jasa Muhyiddin adalah tidak adil kerana sepanjang berada dalam BERSATU, Hamzah antara individu paling kuat membantu Presiden parti itu.

Beliau berkata, sokongan berterusan terhadap Hamzah selepas pemecatannya termasuk daripada Ahli Parlimen, ADUN dan Ketua Bahagian membuktikan bekas Timbalan Presiden BERSATU itu mempunyai pengaruh tersendiri.

Menurut Wan Saiful, Hamzah kini lebih memberi tumpuan kepada agenda RESET dan tidak lagi sibuk tentang BERSATU.

Terdahulu, pegawai Muhyiddin, Marzuki Mohamad dalam status facebook beliau, mendakwa bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin menggunakan nama PAS, UMNO dan Istana sebagai “modal politik” dalam gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden BERSATU. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share