
ALOR SETAR | 6 Julai 26 – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menegaskan Pulau Langkawi perlu dibangunkan berasaskan identiti dan keunikan tersendiri, tanpa meniru atau dibandingkan dengan destinasi pelancongan terkenal seperti Phuket di Thailand atau Bali di Indonesia.
Baginda bertitah, Langkawi merupakan aset strategik kepada negeri Kedah dan negara yang perlu dipelihara serta dibangunkan secara lestari agar terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
“Beta mahu pembangunan Pulau Langkawi dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkannya seperti Phuket atau Bali.
“Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara mampan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Menyembah Tahniah dan Pengurniaan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84 di Istana Anak Bukit, semalam.
Sultan Sallehuddin turut memberi amaran bahawa baginda tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi Langkawi.
Dalam titah yang sama, baginda menggesa kerajaan negeri bersama agensi berkaitan memastikan setiap perancangan pembangunan di pulau peranginan itu dilaksanakan secara tersusun tanpa mengorbankan identiti dan keunikan yang menjadi kekuatan utama Langkawi.
Selain itu, Sultan Kedah turut meminta Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut nilai semasa, selaras dengan semangat asal perjanjian yang dimeterai sebelum ini.
Baginda bertitah kadar bayaran yang diterima kerajaan negeri ketika ini jauh lebih rendah daripada nilai yang sewajarnya dan mengingatkan supaya hak serta kedaulatan negeri Kedah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus dihormati oleh semua pihak. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.