
KUALA LUMPUR | 31 Mei 26 – Parti politik baharu yang bakal diumumkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin akan berteraskan kepimpinan Melayu, Islam dan Bumiputera, namun pada masa sama membuka penyertaan kepada rakyat pelbagai kaum serta menyasarkan pembentukan 153 bahagian di seluruh negara.
Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berkata parti berkenaan dibina berdasarkan semangat Perlembagaan Persekutuan dengan matlamat menyatukan pelbagai kelompok rakyat di bawah satu agenda nasional.
Menurut beliau, kepimpinan parti berpendirian bahawa orang Melayu sebagai majoriti negara perlu terus menjadi tunjang utama kepimpinan, namun hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu juga mesti dipelihara secara adil dan saksama.
“Kita kena pastikan bahawa tunjang kepimpinan parti yang kita bawa ialah Melayu, Islam dan Bumiputera. Tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh meninggalkan hak dan kepentingan orang bukan Melayu, bukan Islam dan bukan Bumiputera,” katanya dalam ucapan di Majlis Ramah Mesra Aidiladha RESET Negeri Sembilan, Port Dickson, semalam.
Wan Saiful berkata perbincangan mengenai identiti parti itu mengambil masa yang panjang kerana kepimpinan perlu menimbang sama ada ia wajar menjadi parti Melayu, parti berbilang kaum atau parti yang membawa identiti nasional yang lebih luas.
Bagaimanapun, katanya, pendekatan yang dipilih ialah membentuk sebuah parti yang ditunjangi orang Melayu tetapi mampu menarik sokongan masyarakat bukan Melayu bagi mendukung matlamat bersama.
Beliau turut mendedahkan bahawa parti tersebut sudah mempunyai kapasiti untuk membentuk 153 bahagian di seluruh negara sebaik sahaja pelancaran rasmi dilakukan.
“Bilangan yang mencukupi sudah ada untuk membentuk 153 bahagian. Ini bukan pencapaian kecil,” katanya.
Menurut beliau, setiap bahagian akan mempunyai jumlah ahli yang mencukupi bagi membolehkan struktur organisasi diwujudkan dengan segera.
Wan Saiful berkata pembentukan 153 bahagian itu penting bagi memastikan parti baharu tersebut mempunyai kekuatan akar umbi dan mampu memberikan nilai tambah kepada Perikatan Nasional (PN).
“Kita mesti ada nilai kepada Perikatan Nasional. Kalau kita tidak tersusun dan tidak mempunyai bahagian yang kukuh, maka kita tidak memberi apa-apa nilai kepada gabungan itu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tumpuan utama ketika ini ialah membina organisasi yang mantap dan bukannya merebut jawatan atau memikirkan soal pencalonan pilihan raya.
Menurutnya, sambutan terhadap gerakan itu amat menggalakkan walaupun nama rasmi parti masih belum diumumkan, sekali gus menunjukkan terdapat permintaan terhadap sebuah alternatif politik baharu dalam negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.