Fadhli Persoal Dakwaan ‘Pekak’, Cadang PAS dan BERSATU Bergerak Secara Berasingan

KUALA LUMPUR | 1 Jun 26 – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan seorang pemimpin BERSATU yang didakwa menyifatkan pihak yang mengatakan parti itu tidak mempunyai jentera sebagai “pekak”, sambil memberi bayangan bahawa hubungan antara kedua-dua parti mungkin sukar dipulihkan.

Dalam satu kenyataan bertajuk “Siapa Pekak?”, Fadhli berkata kenyataan sedemikian menunjukkan tiada lagi ruang untuk kerjasama yang harmoni sekiranya hakikat mengenai kekuatan sebenar parti tidak dapat diterima.

Menurut beliau, bukan satu kesalahan bagi sesebuah parti mempunyai kelemahan dari segi jentera, lebih-lebih lagi jika parti itu masih baharu. Namun, beliau menegaskan masalah timbul apabila kelemahan tersebut dinafikan.

“Yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan itu. Apabila penafian terhadap hakikat berlaku, tindakan yang lahir nanti akan berasaskan keyakinan bahawa diri sentiasa kuat, sedangkan realitinya sebaliknya,” katanya.

Fadhli turut mendakwa bahawa kekurangan jentera sepatutnya diikuti dengan usaha memperkukuh organisasi parti, bukannya pertelagahan dalaman yang berpanjangan.

Beliau mendakwa keadaan yang berlaku selama beberapa tahun kebelakangan ini lebih menjurus kepada usaha mempersiapkan penyokong tertentu untuk menjadi calon, sebelum menumpang kekuatan parti lain dalam gabungan.

Mengulas prestasi pilihan raya, Fadhli berkata terdapat parti dalam gabungan yang bertanding lebih banyak kerusi berbanding rakan-rakannya, namun gagal mencatat kemenangan yang setimpal.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada penilaian politik yang tidak tepat terhadap kekuatan sebenar parti.

Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan beberapa perkembangan melibatkan BERSATU di Perlis dan Negeri Sembilan yang menurutnya menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kerjasama antara parti-parti dalam Perikatan Nasional selepas PRU16.

Sehubungan itu, Fadhli secara peribadi mencadangkan agar PAS dan BERSATU mempertimbangkan untuk bergerak secara berasingan dalam pilihan raya akan datang.

“Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya,” katanya sambil menyindir bahawa pihak berkenaan mungkin boleh mencari rakan politik yang mempunyai “pendengaran lebih jelas, penglihatan lebih terang dan deria bau lebih kuat”.

Kenyataan itu dilihat sebagai respons langsung terhadap kenyataan Setiausaha Agung BERSATU, Azmin Ali yang sebelum ini dilaporkan membalas dakwaan mengenai kelemahan jentera parti dengan menyatakan bahawa pihak yang membuat dakwaan tersebut adalah “pekak”. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share