PN Cabar ROS Di Mahkamah, Mahu Kepastian Hak Bertanding PRN Melaka

KUALA LUMPUR | 5 Okt 26 – Perikatan Nasional (PN) membawa pertikaian dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, antara lain bagi mendapatkan kepastian mengenai status gabungan itu serta hak dan kelayakannya untuk mengemukakan calon dan bertanding dalam pilihan raya, khususnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada jam 10.14 pagi hari ini oleh lima pemohon terdiri daripada Setiausaha Agung parti-parti komponen PN.

Lima pemohon itu ialah Takiyuddin sendiri yang juga Setiausaha Agung PAS; Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zen; Setiausaha Agung MIPP, Satish Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; serta Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Sazmi Miah.

Permohonan itu mencabar notis ROS bertarikh 22 September 2026 di bawah Seksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 serta perintah penggantungan aktiviti PN di bawah subseksyen 13(2A).

Menurut Takiyuddin, PN mahu mendapatkan penjelasan rasmi berhubung kedudukan gabungan itu sebagai sebuah gabungan politik berdaftar, termasuk sama ada PN masih mempunyai hak dan kelayakan untuk mengemukakan calon serta bertanding dalam pilihan raya.

“Adakah Perikatan Nasional mempunyai hak dan kelayakan untuk mengemukakan calon dan bertanding dalam pilihan raya, khususnya pilihan raya Negeri Melaka yang akan datang ini,” katanya.

Beliau berkata, persoalan itu perlu dijawab dengan jelas kerana proses berkaitan PRN Melaka semakin hampir, termasuk mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadualkan pada 7 Oktober ini.

Takiyuddin berkata, PN sebelum ini telah menghantar surat kepada ROS pada 24 September untuk mendapatkan pertemuan dengan Ketua Pengarah ROS sebelum mengemukakan surat susulan pada 28 September bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai aduan yang dikemukakan oleh Bersatu kepada ROS, termasuk isu berkaitan mesyuarat PN pada 16 Julai lalu.

Katanya, PN setakat ini mengetahui mengenai aduan berkenaan melalui laporan media dan belum menerima penjelasan rasmi daripada pihak yang membuat aduan.

“Tak berani saya ingat hari ini mengemukakan dengan jelas kepada kita apa aduan mereka itu,” katanya.

Takiyuddin turut menyifatkan keadaan itu sebagai “lempar batu sembunyi tangan”.

Dalam permohonan tersebut, PN turut memohon perintah certiorari bagi membatalkan notis ROS bertarikh 22 September itu.

Takiyuddin berkata, PN turut memfailkan sijil segera bagi membolehkan permohonan berkenaan didengar dengan kadar segera, khususnya sebelum proses PRN Melaka ditetapkan.

Beliau berkata, mahkamah perlu terlebih dahulu memberikan kebenaran atau leave sebelum permohonan semakan kehakiman itu boleh diteruskan ke peringkat pendengaran substantif.

Pertikaian itu bagaimanapun tidak bermakna pendaftaran PN telah dibatalkan. ROS sebelum ini menjelaskan bahawa notis 22 September tersebut bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya meminta penjelasan daripada gabungan itu berhubung perkara yang dibangkitkan.

Kini, PN memilih untuk membawa persoalan tersebut ke mahkamah ketika masa semakin suntuk menjelang penentuan tarikh-tarikh penting PRN Melaka. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share