PRN Johor Peluang Rakyat Nilai Prestasi Kerajaan Negeri – RESET Johor

JOHOR BAHRU | 3 Jun 26 – Gerakan RESET Johor menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung sebagai peluang terbaik untuk rakyat menilai prestasi kerajaan negeri selepas hampir empat tahun mentadbir.

Penyelaras Gerakan RESET Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkuat kuasa 1 Jun lalu membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan hala tuju baharu negeri menerusi proses demokrasi.

Menurut beliau, tempoh empat tahun pentadbiran kerajaan negeri sudah memadai untuk rakyat membuat penilaian terhadap pencapaian, dasar dan program yang telah dilaksanakan.

“Ini adalah masa untuk rakyat Johor menilai sendiri sama ada kerajaan negeri telah berjaya memenuhi harapan dan aspirasi yang dijanjikan sebelum ini.

“Rakyat berhak bertanya sama ada keadaan ekonomi dan kos sara hidup hari ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat terbanyak, serta sejauh mana janji pembangunan dan kebajikan telah diterjemahkan kepada hasil yang boleh dirasai di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, PRN Johor bukan sekadar proses demokrasi rutin, sebaliknya merupakan medan bagi rakyat memberikan penilaian terhadap prestasi pentadbiran sedia ada.

Katanya, aspek kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi, pembangunan sosial serta kualiti hidup perlu menjadi ukuran utama dalam menentukan kepimpinan negeri pada masa akan datang.

“Rakyat Johor ialah penilai yang bijaksana. Gunakan hak dan peluang ini untuk memilih kepimpinan yang telus, berintegriti serta mampu membawa perubahan yang realistik, bukan sekadar retorik politik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata Gerakan RESET Johor menyokong keputusan pembubaran DUN kerana ia mengembalikan mandat kepada rakyat selaku pemegang kuasa sebenar dalam sistem demokrasi.

Tambah beliau, Gerakan RESET Johor juga bersedia menyertai gelanggang demokrasi bersama parti-parti lain dalam usaha membina Johor yang lebih sejahtera, adil dan maju untuk semua.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi dibubarkan 1 Jun untuk membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan melibatkan kesemua 56 kerusi di seluruh negeri itu.

Pembubaran tersebut sekali gus menandakan bermulanya fasa baharu politik Johor yang akan menentukan pembentukan kerajaan negeri seterusnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share