Di Sebalik Penjajaran Politik, Hadi Pertahan PAS

KUALA LUMPUR | 3 Jun 26 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tampil mempertahankan pendirian dan hala tuju PAS ketika spekulasi mengenai penjajaran politik baharu terus menjadi perhatian dalam kalangan parti-parti pembangkang.

Menerusi tulisan terbaharunya dalam siri Minda Presiden PAS bertajuk “PAS Tidak Ditenggelamkan Selagi Bersama Islam”, Abdul Hadi menegaskan kekuatan PAS terletak pada keteguhannya mempertahankan dasar Islam walaupun berdepan pelbagai cabaran politik sepanjang sejarah parti itu.

Menurut beliau, PAS tidak pernah menyembunyikan identiti perjuangannya dan akan terus membawa agenda Islam secara terbuka dalam sistem demokrasi negara.

“PAS tetap bersama tajuk Islam dan memilih pendekatan demokrasi yang memberikan kebebasan bersuara yang berpandukan Islam. Suara PAS tetap Islam tanpa disembunyikan,” katanya di facebook, semalam.

Beliau turut menegaskan bahawa PAS tidak akan membenarkan parti itu dipergunakan untuk memenuhi agenda politik pihak lain yang tidak selari dengan perjuangan Islam.

Abdul Hadi berkata, pengalaman lalu membuktikan PAS sentiasa bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak, namun kerjasama tersebut mempunyai batas yang ditentukan oleh prinsip dan dasar parti.

Dalam tulisannya, beliau turut mengimbau keputusan PAS menamatkan kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat apabila agenda Islam yang diperjuangkan parti itu menerima tentangan.

Pada masa sama, beliau mengkritik pendekatan sesetengah gerakan Islam di luar negara yang memilih untuk melonggarkan identiti perjuangan demi meraih sokongan politik, tetapi akhirnya gagal mempertahankan matlamat asal mereka.

Menurutnya, ketegasan PAS mempertahankan prinsip Islam menyebabkan parti itu tidak mudah diheret ke dalam percaturan politik yang bersifat oportunis.

“Ketegasan PAS dalam istiqamah bersama Islam menjadikannya gagal diheret dan dipergunakan dalam permainan politik yang tidak ikhlas bersama Islam,” katanya.

Abdul Hadi juga menegaskan bahawa PAS pernah melalui pelbagai ujian termasuk kehilangan kerusi dan pemimpin, namun parti itu terus bertahan kerana kekal berpegang kepada asas perjuangannya.

Kenyataan itu dilihat hadir ketika landskap politik pembangkang sedang menyaksikan pelbagai spekulasi mengenai pembentukan pakatan dan kerjasama baharu menjelang pilihan raya akan datang. PAS ketika ini merupakan parti terbesar dalam Perikatan Nasional serta menguasai pentadbiran di beberapa negeri. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

https://www.youtube.com/watch?v=e3rj-jtuiZA
Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share