Hamzah Tegaskan ‘Reset’ Agenda Pembinaan Semula, Bukan Sekadar Slogan

KUALA LUMPUR | 18 Fev 26 – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa gagasan “reset” yang dibawanya bukan sekadar slogan politik, sebaliknya langkah strategik ke arah pembinaan semula kekuatan kolektif demi masa depan negara.

Beliau melahirkan rasa terharu atas kehadiran rakan-rakan dalam program yang diadakan di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) baru-baru ini, sambil merakamkan penghargaan kepada Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Ronald Kiandee serta Ahli-ahli Parlimen yang menjemput beliau hadir atas kapasiti Ketua Pembangkang.

Menurut Hamzah, kehadiran sahabat-sahabat dari seluruh negara termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuktikan bahawa nilai perjuangan yang diperjuangkan tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak.

“Reset bukan manifestasi sokongan kepada individu tertentu. Ia adalah langkah permulaan ke arah pembetulan dan penambahbaikan yang akan menjadi asas kepada pembinaan semula kekuatan kolektif,” katanya.

Beliau menekankan bahawa fasa reset menuntut keberanian, kejujuran dan kesungguhan untuk melakukan perubahan sebenar. Tegasnya, ia bukan sekadar menoleh ke belakang dengan rasa kesal, tetapi bergerak ke hadapan dengan keyakinan yang jelas dan terarah.

Dalam kenyataan tersebut, Hamzah turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli di peringkat bahagian, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen supaya menterjemahkan semangat reset kepada tindakan nyata, berlandaskan komitmen, amanah serta tanggungjawab yang ikhlas.

“Reset demi agama, bangsa dan negara,” tegas beliau, memberi isyarat bahawa agenda yang digariskan bersifat menyeluruh dan melangkaui kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Kenyataan itu dilihat sebagai mesej konsolidasi kepada penyokong dan rakan politiknya bahawa proses pembaharuan sedang dirintis dengan pendekatan lebih tersusun dan berprinsip. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share