
KUALA LUMPUR | 5 Jun 26 — Cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) 2.0 hanya mampu direalisasikan sekiranya semua parti yang terlibat bersedia mengenepikan kepentingan politik sempit dan meletakkan kompromi sebagai asas kerjasama, kata penganalisis politik.
Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpandangan bahawa cabaran utama MN 2.0 bukan kerana tiada titik persamaan antara parti Melayu, tetapi kerana sejarah politik menunjukkan gabungan seperti ini sering gagal apabila kepentingan kuasa menjadi keutamaan.
Menurut beliau, kejayaan MN 2.0 bergantung kepada tahap keikhlasan semua pihak untuk menerima konsep memberi dan menerima dalam politik.
Beliau berkata, sesebuah gabungan tidak akan mampu bertahan jika mana-mana parti melihat rakan sekutu hanya sebagai alat untuk mencapai keuntungan politik sendiri.
Dalam konteks itu, beliau melihat peranan RESET juga berpotensi menjadi sebahagian daripada landskap baharu penyatuan politik Melayu sekiranya formula MN 2.0 benar-benar mahu diwujudkan.
Namun katanya, asas paling penting ialah semua pihak mesti mengelakkan sikap tamak kuasa dan tidak memperkudakan rakan gabungan apabila mempunyai kelebihan politik.
Beliau memberi contoh, parti yang kuat di sesuatu negeri perlu bersedia memberi ruang kepada rakan gabungan untuk berkembang di kawasan yang lain sebagai pertukaran kepada kerjasama politik yang lebih besar.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melihat isu MN 2.0 dari sudut realiti politik.
Katanya, sejarah menunjukkan penjajaran politik berbeza antara negeri dan Persekutuan bukan sesuatu yang mustahil. Sesebuah parti boleh bekerjasama di peringkat nasional tetapi mempunyai pendekatan berbeza di peringkat negeri.
Namun, menurut beliau, cabaran terbesar MN 2.0 ialah persaingan kerusi antara UMNO dan PAS yang bertembung di kawasan majoriti Melayu.
Persoalannya, kata beliau, ialah sejauh mana kedua-dua parti sanggup berkompromi dalam pembahagian kerusi kerana masing-masing mahu menjadi kuasa dominan.
Beliau turut melihat kekuatan UMNO di Johor sebagai faktor yang menyebabkan parti itu mungkin belum berminat mempertimbangkan formula baharu bersama PAS.
UMNO, katanya, masih yakin mampu mempertahankan pengaruhnya di negeri tersebut dan memilih untuk bergerak sendiri dalam menghadapi pilihan raya negeri.
Bagaimanapun, Dr. Mazlan Ali berpandangan keadaan politik boleh berubah mengikut masa kerana sejarah menunjukkan pakatan politik sering terbentuk berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa.
Dua pandangan ini menggambarkan cabaran sebenar MN 2.0.
Ia bukan sekadar soal menyatukan parti Melayu atas nama perpaduan, tetapi persoalan sama ada elit politik mampu mengorbankan sebahagian kepentingan masing-masing demi membina satu gabungan yang lebih besar.
Tanpa kompromi, MN 2.0 berisiko mengulangi sejarah lama di mana muncul sebagai gagasan besar, tetapi gagal diterjemahkan kepada realiti politik. B
Terdahulu, Timbala Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Tan Sri Annuar Musa melontarkan cadangan agar Muafakat Nasional kembli dihidupkan bagi menyatukan parti-parti Melayu Islam dalam menghadapi pilihan raya.
Cadangan itu disambut baik oleh wakil Gerakan RESET, Datuk Wan Saiful Wan Jan dengan menyifatkan cadangan tersebut perlu diberi perhatian khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Johor. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.