Peguam Persoal Tindakan Polis Dalam Krisis Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR | 5 Jun 26 — Persoalan mengenai dakwaan halangan terhadap urusan institusi diraja Negeri Sembilan menjadi perhatian selepas peguam kanan Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan bagaimana pihak penguat kuasa boleh menghalang perjalanan urusan yang melibatkan struktur pemerintahan diraja negeri itu.

Beliau berkata, isu tersebut amat membimbangkan kerana institusi diraja mempunyai kedudukan tersendiri dalam kerangka negara dan tidak seharusnya dilihat berada di bawah mana-mana pihak pelaksana undang-undang.

“Institusi diraja adalah institusi tertinggi negara dan pihak penyelenggara atau pelaksana undang-undang seperti polis ataupun tentera tidak boleh berada di atas institusi diraja,” katanya kepada politiko.

Haniff berkata demikian ketika mengulas perkembangan kemelut di Negeri Sembilan yang melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar serta proses berkaitan institusi diraja negeri tersebut.

Menurut beliau, laporan mengenai gangguan terhadap urusan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menimbulkan persoalan besar kerana badan tersebut mempunyai peranan yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

“Bagaimana polis boleh halang urusan diraja? Itu sesuatu yang amat memalukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kenyataannya bukan bertujuan menyebelahi mana-mana pihak dalam pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sebaliknya, beliau berkata isu utama adalah penghormatan terhadap institusi diraja dan mekanisme yang telah lama wujud dalam sistem pemerintahan negeri.

Katanya, Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri melalui sistem adat Perpatih yang melibatkan peranan Undang serta Dewan Keadilan dan Undang dalam menentukan urusan tertentu.

Beliau turut mengingatkan bahawa persoalan berkaitan institusi diraja tidak boleh dilihat hanya dari sudut teknikal undang-undang, tetapi perlu mengambil kira sejarah dan asas pembentukan negara.

Menurutnya, kewujudan institusi Raja-Raja Melayu merupakan sebahagian daripada perjalanan sejarah pembentukan Malaysia dan perlu dihormati dalam kerangka perlembagaan.

Haniff berkata, penyelesaian terhadap kemelut Negeri Sembilan perlu dibuat melalui saluran yang betul agar tidak menimbulkan persoalan lebih besar terhadap keyakinan rakyat kepada institusi negara.

Awal pagi ini, berlaku sedikit kekecohan di pintu utama Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin apabila dua Undang Negeri Sembilan dihalang pihak polis daripada memasuki premis tersebut.

Situasi tersebut berlaku sekitar jam 9 pagi ini, apabila Undang Luak Johol dan Jelebu tiba untuk menghadiri satu sidang khas bersama pemimpin adat negeri yang lain, dikatakan bagi membincangkan dan menamatkan pertikaian diraja Negeri Sembilan yang berlarutan.

Namun, akhirnya Polis membenarkan kumpulan tersebut masuk ke kediaman rasmi rasmi Tunku Besar Tampin. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share