Cadangan Timbalan Presiden PAS Hidupkan MN 2.0 Wajar Diberi Perhatian – MP Lumut

KUALA LUMPUR, 6 Jun 26 — Cadangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya gagasan Muafakat Nasional (MN) 2.0 dihidupkan semula wajar diberi perhatian serius oleh semua parti politik, kata Ahli Parlimen Lumut, YB Komander Nordin Ahmad Ismail TLDM (Bersara).

Beliau berkata, dalam keadaan politik Malaysia yang semakin mencabar, semua pihak perlu melihat isu penyatuan dan kestabilan politik dari sudut kepentingan negara, bukan hanya berdasarkan kepentingan kepartian semata-mata.

Menurutnya, cadangan tersebut membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas mengenai bagaimana kekuatan politik Melayu dan Bumiputera dapat disusun semula secara lebih matang, teratur dan bertanggungjawab.

“Realiti hari ini menunjukkan bahawa perpecahan politik dalam kalangan parti-parti Melayu telah mewujudkan pelbagai cabaran, termasuk dari sudut kestabilan pentadbiran dan keupayaan memperjuangkan agenda rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sekiranya usaha Muafakat Nasional 2.0 dapat direalisasikan dengan pendekatan yang inklusif serta berpaksikan matlamat bersama, ia berpotensi menyatukan pelbagai gerakan dan kelompok yang berkongsi aspirasi memperkukuh kedudukan negara.

Katanya, antara gerakan yang turut mendapat perhatian ialah RESET yang dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang dilihat sebagai platform penyatuan pelbagai tokoh, aktivis dan kelompok masyarakat yang mahukan pembaharuan politik lebih tersusun dan stabil.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang usaha penyatuan politik perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu dan tidak boleh hanya berasaskan slogan.

“Penyatuan mesti dibina atas asas kepercayaan, toleransi, kesediaan berunding serta agenda yang jelas untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sejarah Malaysia membuktikan kerjasama politik antara pelbagai pihak pernah menjadi asas penting kepada pembangunan dan kestabilan negara.

Justeru, katanya, cadangan MN 2.0 tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai strategi politik jangka pendek, sebaliknya satu wacana yang perlu dinilai secara terbuka demi masa depan Malaysia.

“Penyatuan politik tidak boleh bermaksud meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat.

Sebaliknya, ia perlu menjadi usaha memperkukuh kestabilan negara dan membina keyakinan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pemimpin politik supaya melihat cadangan tersebut dengan fikiran terbuka kerana perbezaan pandangan boleh diketepikan apabila kepentingan negara menjadi keutamaan.

“Malaysia memerlukan politik yang lebih matang, stabil dan berwawasan,” katanya. 

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung dilihat sebagai titik penting dalam menentukan hala tuju baharu politik negara apabila PAS mencadangkan agar satu gelombang penyatuan politik Melayu-Islam digerakkan semula menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) 2.0.

Tuan Ibrahim berkata, kekuatan politik Melayu hanya mampu dibina melalui muafakat dan toleransi antara parti-parti utama Melayu, khususnya PAS dan UMNO. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share