Saifuddin Beri Bayangan Parti Baharu Hamzah Bawa Agenda Konsensus Nasional Baharu

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2026 — Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberi bayangan bahawa parti baharu yang sedang digagaskan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan sekadar menjadi wadah politik alternatif, sebaliknya bakal tampil dengan satu kerangka pemikiran yang lebih besar berteraskan Konsensus Nasional Baharu.

Menurut beliau, usaha pembentukan parti itu sedang diperkukuhkan melalui pembangunan satu rangka kerja dasar yang komprehensif bagi menjawab cabaran politik, ekonomi dan sosial yang dihadapi negara.

“Sesuai dengan pemikiran Konsensus Nasional Baharu dan pendekatan reset, maka parti politik reset seharusnya berwajah Malaysia dan mempunyai kejelasan tentang peranan setiap kaum, selari dengan kandungan dan semangat Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Rukun Negara, sejarah serta kebudayaan kebangsaan, kata Saifuddin kepada Politiko.

Saifuddin berkata, kerangka Konsensus Nasional Baharu itu akan memberi penekanan kepada usaha membina kesepakatan nasional yang lebih luas dalam isu-isu strategik negara serta memperkukuh kerjasama antara parti-parti politik.

“Memenangi PRU16 bukanlah mudah. Lebih sukar lagi untuk memenanginya dengan majoriti yang besar dan stabil, sama ada dari segi jumlah kerusi mahupun peratusan undi.

“Justeru, wajarlah gabungan parti-parti yang disertai parti reset bekerjasama dengan parti politik lain dan/atau gabungan parti-parti politik lain,” ujarnya.

Kenyataan ini menjadi petunjuk jelas bahawa parti baharu Hamzah akan memposisikan entitinya sebagai sebuah gerakan yang menawarkan naratif kesepakatan nasional dan reformasi politik yang lebih luas, berbanding sekadar penyusunan semula kekuatan parti-parti sedia ada. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share