Parti Baharu Guna Model Perlembagaan Persekutuan Pertama Di Malaysia – Chegubard

SEREMBAN | 10 Jun 26 – Aktivis RESET, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendedahkan sparti politik baharu yang sedang dibentuk bakal tampil dengan model perlembagaan yang tidak pernah digunakan oleh mana-mana parti politik di Malaysia.

Menurut beliau, parti tersebut akan dibina berasaskan semangat dan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menjadikannya berbeza daripada kebanyakan parti politik sedia ada.

“Parti ini akan ada sebuah perlembagaan yang tidak pernah dipakai oleh mana-mana parti dalam Malaysia. Perlembagaan parti ini akan mencerminkan Perlembagaan Negara,” katanya ketika berucap dalam satu program di Port Dickson.

Chegubard berkata, antara ciri utama yang bakal diterapkan ialah peluang yang lebih terbuka kepada semua ahli untuk terlibat dalam proses kepimpinan dan membuat keputusan dalam parti.

Menurut beliau, parti tersebut juga akan mengekalkan komitmen terhadap prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk Perkara 153, namun pada masa yang sama memberi ruang penyertaan yang adil kepada semua kaum.

“Kita berani menulis secara jelas mengenai jaminan Perkara 153 dalam perlembagaan parti. Pada masa yang sama, semua rakyat ada tempat dalam parti ini,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan itu bertujuan membentuk sebuah wadah politik yang bukan sahaja mempertahankan asas-asas kenegaraan, malah mampu mengangkat prinsip keterangkuman dan penyertaan rakyat secara lebih menyeluruh.

Chegubard turut membayangkan bahawa parti baharu tersebut akan menjadi platform untuk menghimpunkan pelbagai tokoh dan kelompok masyarakat yang mahu melihat pembaharuan dalam landskap politik negara.

Menurutnya, pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa kekuatan politik tidak boleh hanya bergantung kepada bilangan kerusi atau kedudukan pemimpin, sebaliknya perlu dibina melalui penglibatan rakyat dari peringkat akar umbi.

“Kalau di bawah tidak membuka pintu dan tidak bersama membina kekuatan, maka bilangan Ahli Parlimen atau ADUN tidak membawa makna yang besar,” katanya.

Beliau percaya model parti yang sedang dibangunkan itu mampu menawarkan pendekatan baharu kepada politik negara dengan menggabungkan prinsip Perlembagaan, keterangkuman rakyat serta pembinaan kekuatan dari bawah.

13 Jun ini, Gerakan RESET akan mengadakan Konvensyen RESET Malaysia di Tanah Merah, Kelantan. Ketua pergerakan RESET, Hamzah Zainudin dijangka mengumumkan parti baharu yang akan disertai oleh para penyokongnya dari seluruh negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share