
KUALA LUMPUR | 10 Jun 26 – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan siasatan berhubung aduan ahli perniagaan, Albert Tei terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) selepas penelitian mendapati tiada elemen kesalahan yang membolehkan pendakwaan diteruskan.
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan ugutan jenayah melibatkan Azam sebelum membuat keputusan tersebut.
Menurutnya, hasil penelitian mendapati elemen kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak dapat dibuktikan berdasarkan keterangan yang diperoleh sepanjang siasatan dijalankan.
Kes berkenaan berpunca daripada laporan polis yang dibuat oleh Albert Tei yang mendakwa beliau menerima ugutan daripada Azam Baki. Susulan laporan itu, PDRM telah membuka siasatan dan mengambil keterangan beberapa individu termasuk Azam sendiri bagi membantu siasatan.
Dengan keputusan terbaharu itu, AGC mengesahkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Azam berhubung aduan yang dikemukakan oleh Albert Tei. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.