Berpakatlah, Rakyat Tak Mahu Tahu Soal Agihan Kerusi – Aktivis RESET

KUALA LUMPUR | 11 Jun 26 – Aktivis Gerakan RESET, Syed Hassan Syed Ali menyeru semua parti politik Melayu agar mengetepikan perbezaan dan segera membina kesepakatan politik demi memenuhi harapan rakyat yang mahukan perpaduan, bukannya pertelingkahan mengenai pembahagian kerusi pilihan raya.

Beliau berkata, rakyat di peringkat akar umbi sudah muak dengan polemik dalaman parti dan rundingan kerusi yang berpanjangan, sebaliknya mengharapkan pemimpin politik mencapai persefahaman bagi memperkukuhkan agenda penyatuan Melayu dan Islam.

“Pakat-pakatlah. Soal pembahagian kerusi, rakyat di bawah ini tidak mahu tahu. Mereka tidak mahu melihat parti-parti bergaduh tentang siapa dapat lebih atau kurang kerusi. Yang penting ialah kesatuan dan kerjasama untuk masa depan negara,” katanya.

Menurut Syed Hassan, beliau menyambut baik kenyataan Presiden PAS yang membuka ruang kepada semua pihak termasuk parti-parti politik, aktivis masyarakat, ahli akademik dan usahawan Melayu untuk bersama-sama membina satu gagasan yang lebih besar.

Beliau turut mendakwa PAS kekal komited untuk bekerjasama dengan Gerakan RESET yang dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin serta menyokong usaha pembentukan wadah politik baharu yang sedang digerakkan.

“Saya difahamkan PAS akan terus bersama RESET dan kepimpinan Datuk Seri Hamzah. Ini memberi isyarat bahawa usaha penyatuan yang lebih besar sedang dibina,” katanya.

Tambah beliau, kemunculan sebuah platform politik baharu yang diterajui Hamzah berpotensi memperkukuhkan sokongan masyarakat Melayu sekiranya berjaya menghimpunkan beberapa parti dan gerakan di bawah satu payung kerjasama yang lebih tersusun.

Beliau percaya gabungan kekuatan beberapa parti utama Melayu serta penyertaan pelbagai gerakan masyarakat akan mewujudkan suatu bentuk penyatuan yang lebih menyeluruh dan diterima rakyat.

“Apabila lebih banyak pihak dapat duduk semeja dan mencari titik persamaan, saya yakin sokongan orang Melayu akan menjadi lebih padu. Rakyat mahukan kesepakatan, bukannya pertikaian yang berterusan,” katanya.

Syed Hassan berharap semua pihak yang terlibat dalam rundingan politik ketika ini dapat mengutamakan kepentingan rakyat dan masa depan negara berbanding kepentingan parti atau individu semata-mata. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share