RESET – Generasi Pasca-Reformasi Mencorak Malaysia

Jika politik negara selama lebih tiga dekad banyak ditentukan oleh tokoh-tokoh besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Abdul Hadi Awang, kini muncul kelompok pemimpin baharu yang sedang membentuk wajah politik Malaysia untuk dekad mendatang.

Mereka bukan generasi yang mencipta Reformasi. Mereka adalah generasi yang dibentuk oleh kesan dan perubahan yang ditinggalkan Reformasi – yang kini hanya tinggal janji.

Daripada Ahmad Samsuri Mokhtar, Muhammad Sanusi Md Nor, Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad, Wan Saiful Wan Jan, Wan Ahmad Fayhsal, Shahril Hamdan, Asyraf Wajdi Dusuki, Dr Muhamad Akmal Saleh, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Afnan Hamimi dan Dr Aliakbar Gulasan, mereka mewakili satu gelombang kepimpinan baharu yang semakin menonjol merentasi pelbagai parti politik.

Mereka datang daripada latar dan ideologi yang berbeza, namun berkongsi satu persamaan — mereka adalah generasi pasca-Reformasi yang bakal menentukan bentuk Malaysia selepas era tokoh-tokoh besar hari ini.

UMNO Pasca Mahathir, Najib dan Zahid

UMNO hari ini bukan lagi UMNO era Mahathir yang berteraskan pembangunan negara semata-mata, mahupun UMNO era Najib yang sinonim dengan transformasi ekonomi dan politik berskala besar.

Krisis politik pasca-2018 dan kemerosotan dominasi parti memaksa UMNO melahirkan generasi pemimpin yang lebih segar dan dekat dengan realiti baharu.

Daripada proses itu muncul nama seperti Asyraf Wajdi Dusuki, yang membawa imej islamik dan teknokrat, Shahril Hamdan, yang dikenali dengan keupayaan komunikasi politik moden, serta Dr Akmal Saleh, simbol kebangkitan politik akar umbi generasi muda Melayu.

Mereka mewakili usaha UMNO untuk membina semula pengaruhnya dalam era yang tidak lagi menjamin kesetiaan politik secara automatik.

BERSATU Pasca Muhyiddin

Parti yang diasaskan sebagai wadah perjuangan pasca-UMNO kini berdepan cabaran untuk membina identiti melangkaui pengaruh pengasasnya.

Dalam proses tersebut, muncul kelompok pemimpin seperti Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal malah Syed Saddiq. Ketiga mereka membawa gabungan pemikiran dasar, menghujah berdasarkan polisi, idealisme generasi muda dan keberanian mencabar status quo politik.

Mereka bukan sekadar pelapis kepimpinan baharu, tetapi mewakili usaha membentuk naratif yang lebih sesuai dengan kehendak generasi pasca-Reformasi.

PAS Pasca Perpecahan Pakatan Rakyat

Perpecahan Pakatan Rakyat pada 2015 yang membawa kepada penubuhan Parti Amanah Negara sering dilihat sebagai titik perubahan besar dalam sejarah PAS.

Ramai menjangka PAS akan menjadi lebih kecil dan terasing selepas kehilangan sebahagian pemimpin progresifnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya.

PAS melahirkan generasi pemimpin baharu yang lebih pelbagai latar belakang dan mempunyai daya tarikan tersendiri.

Ahmad Samsuri Mokhtar muncul sebagai teknokrat yang berjaya menampilkan wajah pentadbiran yang profesional. Muhammad Sanusi Md Nor pula menjadi antara pemimpin politik paling berpengaruh dalam kalangan pengundi Melayu. Sementara Afnan Hamimi dan Dr Aliakbar Gulasan memperlihatkan kemunculan generasi pelapis yang semakin aktif dalam membawa PAS menjadi lebih nasional dari sebelumnya.

Perpecahan yang pernah dianggap sebagai kelemahan akhirnya menjadi pemangkin kepada proses pembaharuan dalaman PAS.

PKR Pasca Anwar

PKR pula sedang berdepan persoalan yang lebih besar.

Buat pertama kali sejak ditubuhkan, parti itu perlu memikirkan masa depan selepas era Anwar Ibrahim. Hegmoni Anwar kini dicabar hebat.

Hakikat bahawa PKR diasaskan di sekeliling perjuangan seorang tokoh menjadikan proses peralihan kepimpinan lebih sukar berbanding parti lain.

Namun daripada proses panjang itu lahir tokoh seperti Rafizi Ramli, arkitek dasar yang berpengaruh dan antara pemikir politik yang menonjol dalam generasinya.

Di samping itu, Nik Nazmi Nik Ahmad tampil sebagai pemimpin yang membawa pengalaman pentadbiran dan pendekatan sederhana yang mampu merentasi pelbagai kelompok masyarakat.

Mereka merupakan antara wajah yang akan menentukan sama ada politik Malsyia mampu berkembang sebagai institusi politik yang matang selepas era Anwar.

Politik Digital, Politik Idea

Berbeza dengan generasi terdahulu yang membina pengaruh melalui struktur parti dan media tradisional, generasi baharu ini bergerak dalam dunia yang ditentukan oleh kelajuan maklumat.

Mereka membina pengaruh melalui idea, hujah dan keupayaan menguasai ruang digital.

Rafizi terkenal dengan analisis data. Shahril dengan hujah intelektual. Wan Saiful dengan pemikiran dasar. Syed Saddiq dengan pengaruh anak muda. Sanusi dengan politik massa. Samsuri dengan imej teknokrat. Akmal dengan kekuatan akar umbi.

Masing-masing membawa pendekatan yang berbeza, tetapi semuanya mencerminkan perubahan besar yang sedang berlaku dalam politik Melayu dan Malaysia amnya.

Generasi RESET

Apa yang sedang berlaku sebenarnya ialah satu proses RESET politik nasional.

Bukan RESET dalam erti parti atau gerakan semata-mata, tetapi RESET generasi.

Malaysia sedang bergerak daripada era politik yang didominasi politik pesonaliti kepada era yang bakal ditentukan oleh sekumpulan pemimpin berfikir yang lahir daripada pengalaman Reformasi, media digital dan politik yang semakin terbuka.

Mereka mungkin berbeza parti, berbeza ideologi dan berbeza pendekatan. Namun apabila mereka diberi amanah, mereka berkongsi tanggungjawab yang sama iaitu untuk membentuk Malaysia baharu dengan identiti yang lebih jelas.

Dalam tempoh sepuluh hingga lima belas tahun akan datang, sebahagian besar nama yang memimpin negara mungkin datang daripada kelompok ini. Kerana sejarah sentiasa bergerak mengikut generasi.

Dan generasi RESET kini sedang mengambil tempatnya untuk mencorak Malaysia yang lebih dinamik, lebih matang dan lebih bersedia menghadapi cabaran abad ke-21.  -Editor@politiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Kenapa Melayu Mesti Bersatu?

Ini kerana pemerintah ketika ini seakan-akan tidak mengiktiraf Melayu yang super majority untuk dijadikan paksi kepada dasar pembentukan negara (state-making), pembangunan bangsa (nation-building) dan pembangunan negara (national development).
Read More
Total
0
Share