
KUALA LUMPUR | 15 Jun 26 — Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa seorang pengulas sukan telah direhatkan daripada tugas mengulas kejohanan Piala Dunia selepas menyertai PAS.
Menurut beliau, pengulas berkenaan dikatakan telah menjalankan tugas seperti biasa sebelum dimaklumkan oleh pihak penerbit bahawa khidmatnya tidak lagi digunakan untuk siaran kejohanan tersebut.
Dalam pengumuman terdahulu, bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pengulas sukan popular RTM, Azlan Johar, secara rasmi telah menyerahkan borang keahlian menyertai PAS. Perkara ini diumumkan dalam satu majlis PAS di Seremban yang turut menyaksikan penyertaan 14 tokoh politik dan profesional lain.
Tuan Ibrahim mendakwa tindakan itu mencerminkan amalan yang tidak sihat dalam sistem demokrasi dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
“Takkan kerana dia menyerah borang PAS. Ini sistem demokrasi. Terpulang kepada rakyat untuk menyertai mana-mana parti,” katanya ketika berucap dalam satu program parti.
Beliau turut mengaitkan insiden tersebut dengan apa yang disifatkannya sebagai tindakan zalim terhadap individu yang mempunyai kecenderungan politik berbeza.
Menurutnya, tindakan sedemikian tidak akan menambah sokongan kepada kerajaan, sebaliknya boleh meningkatkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata rakyat mempunyai hak untuk memilih dan menyertai mana-mana parti politik tanpa berdepan sebarang tekanan atau tindakan yang boleh menjejaskan kerjaya mereka. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.