
KUALA LUMPUR | 15 Jun 26 — Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin hilang kawalan terhadap parti-parti sekutu dalam Kerajaan Perpaduan susulan beberapa perkembangan politik melibatkan negeri-negeri yang diterajui gabungan pemerintah.
Menurut beliau, antara petunjuk yang jelas ialah apabila Anwar secara terbuka menegur tindakan kerajaan Johor yang memutuskan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun negeri itu ditadbir oleh UMNO yang merupakan rakan dalam kerajaan Persekutuan.
Katanya, kritikan tersebut menunjukkan wujud percanggahan pandangan dalam kalangan parti yang berada dalam gabungan sama.
“Perdana Menteri sendiri membalon UMNO di Johor kerana membubarkan Dewan Negeri Johor. Dia kata Johor masih panjang lagi tempohnya dan tidak perlu dibubarkan segera.
“Dia tegur siapa? Dia tegur UMNO sedangkan UMNO ialah rakan yang bersama-sama menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika berucap dalam satu program parti.
Tuan Ibrahim turut membangkitkan perkembangan politik di Negeri Sembilan yang menurutnya memperlihatkan keadaan yang hampir sama dalam kalangan sekutu kerajaan.
Menurut beliau, situasi tersebut memberi gambaran bahawa Anwar semakin sukar mengawal tindakan dan keputusan politik parti-parti yang berada dalam gabungan pemerintah.
“Mana pun dia, dia hilang kawalan,” katanya.
Beliau mendakwa perkembangan berkenaan menjadi petanda bahawa kerajaan sedang berdepan masalah dalaman yang semakin ketara, selain menunjukkan keyakinan rakyat terhadap gabungan pemerintah semakin terhakis.
Tuan Ibrahim berkata tindakan dan kenyataan yang bercanggah antara parti-parti dalam kerajaan hanya akan menguatkan persepsi bahawa gabungan tersebut sedang berdepan cabaran besar untuk mengekalkan kesepaduan politik menjelang pilihan raya akan datang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.