
KUALA LUMPUR | 2 Apr 26 — Kenaikan harga diesel kepada RM6.02 seliter disifatkan sebagai petunjuk kelemahan dasar tenaga negara, dengan kerajaan dilihat bertindak secara reaktif melalui pengumuman harga mingguan tanpa strategi menyeluruh.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam keadaan krisis global akibat konflik di Timur Tengah dan penutupan Selat Hormuz, kerajaan sepatutnya mengemukakan pelan tenaga yang komprehensif, bukan sekadar pelarasan harga.
“Isunya bukan harga mingguan, tetapi ketiadaan dasar tenaga yang jelas dalam menghadapi realiti geopolitik baharu,” katanya.
Beliau mengakui gangguan bekalan global berada di luar kawalan kerajaan, namun menegaskan tindak balas dasar adalah tanggungjawab pentadbiran.
Tuan Ibrahim turut mempersoalkan ketidakseimbangan harga bahan api apabila diesel meningkat sehingga 93% sejak awal Mac, sedangkan RON97 diturunkan dan RON95 kekal.
Katanya, kerajaan gagal menjelaskan secara telus komponen sebenar harga diesel termasuk jumlah subsidi yang diserap, di samping tidak memperincikan kesan kelemahan ringgit terhadap kos import bahan api.
Beliau juga membangkitkan peranan Petronas sebagai syarikat minyak nasional, sama ada keuntungan luar biasa dalam situasi harga global tinggi dimanfaatkan untuk melindungi rakyat atau sekadar meningkatkan hasil kerajaan.
Menurutnya, kenaikan diesel memberi kesan langsung kepada sektor logistik, pertanian dan perikanan, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi.
“Diesel bukan bahan api mewah, tetapi asas kepada ekonomi harian rakyat,” katanya.
Mengulas bantuan BUDI Diesel sebanyak RM300 sebulan, beliau menyifatkan jumlah itu tidak memadai berbanding kos sebenar yang ditanggung pengusaha.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menjelaskan pelan kepelbagaian sumber bekalan, tahap rizab strategik negara serta mekanisme perlindungan sektor kritikal.
Katanya, Malaysia sebagai negara pengeluar minyak mempunyai kelebihan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam menghadapi krisis.
“Rakyat tidak menuntut keajaiban, tetapi mahukan kejelasan dan kejujuran dalam dasar,” katanya.
Semalam, harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April ini.
Untuk rekod, ini merupakan kenaikan tertinggi dalam sejarah negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.