“Beri Kepercayaan Kepada PAS Pulihkan PN” – Naib Ketua Pemuda PAS Selangor

KUALA LUMPUR | 16 Jun 26 — BERSATU perlu bertenang dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada PAS untuk membaiki kerosakan yang didakwa berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, kerosakan tersebut bukan sahaja berlaku di peringkat nasional malah turut melibatkan beberapa negeri sehingga menjejaskan kekuatan gabungan pembangkang itu.

Menurut beliau, pelbagai isu yang timbul termasuk polemik pelantikan Ketua Pembangkang, kemasukan parti-parti lain ke dalam PN serta krisis yang melibatkan negeri seperti Perlis dan Negeri Sembilan menunjukkan kegagalan pengurusan dalaman yang perlu diperbetulkan.

“Di saat Perdana Menteri dan Pakatan Harapan (PH) berada pada titik lemah mereka sebagai kerajaan, BERSATU pula mengheret krisis dalaman sehingga menjejaskan PN serta hubungan dengan parti-parti komponen lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Faizzuddin turut mendakwa BERSATU memandang rendah terhadap strategi dan pendekatan politik PAS sehingga mencetuskan ketegangan dalam gabungan berkenaan.

Menurutnya, tindakan yang diambil PAS ketika ini adalah sebahagian daripada usaha menyelamatkan PN daripada terus berdepan kemelut dalaman.

“PN bukan milik BERSATU. PN adalah milik semua parti yang berada di bawah gabungan tersebut dan sepatutnya menjadi wadah penyatuan pembangkang di bawah satu payung besar,” katanya.

Beliau berpendapat kegagalan BERSATU menguruskan kepelbagaian bakat dan idea dalam parti menyebabkan PN semakin lemah serta gagal mengembangkan pengaruh politiknya.

Katanya, kesabaran PAS kini sudah sampai ke penghujung sehingga parti itu terpaksa mengambil pendekatan lebih agresif bagi memastikan masa depan PN terus terpelihara.

“PAS kini sedang dalam proses membaiki segala kerosakan yang ada dalam PN dan insya-Allah gabungan itu sedang menuju ke arah yang lebih tepat,” katanya.

Mengulas pelantikan Ketua Pembangkang baharu, Faizzuddin menyifatkan pemilihan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai satu perkembangan positif yang mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau turut berpandangan bahawa Presiden PAS sedang membentuk barisan kepimpinan yang lebih muda, proaktif dan mempunyai latar belakang kepimpinan yang unik untuk menerajui PN pada masa depan.

Menurutnya, pasukan tersebut bukan sahaja berpotensi mengemudi PN dengan lebih berkesan malah mampu menjadi alternatif kepada kepimpinan negara sedia ada yang diterajui PH.

Dalam masa sama, beliau menegaskan PN perlu menjadi platform utama yang menghimpunkan seluruh blok pembangkang termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan berkepentingan serta individu yang tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan.

Faizzuddin turut merujuk kepada Konvensyen RESET yang berlangsung di Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini sebagai petunjuk bahawa usaha menyatukan pelbagai kelompok pembangkang di bawah satu payung semakin mendapat sambutan.

Justeru, beliau menyeru BERSATU supaya menghentikan serangan politik sesama sendiri dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan pembangkang.

“BERSATU perlu mengambil pendirian untuk bertenang seketika dan tidak meneruskan serangan yang bersifat peribadi, sempit serta tidak memberi manfaat. Sekarang adalah masa untuk bekerja,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share