
KUALA LUMPUR, 6 Ogos 25 – Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mencadangkan satu peruntukan khusus berhubung undi tidak percaya dimasukkan dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran), berkata, ketika ini usul undi tidak percaya hanya boleh dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3), yang boleh digunakan untuk setiap usul kerajaan dan perlu mendapat kelulusan Speaker Dewan Rakyat.
Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu berkata di bawah Peraturan Mesyuarat 15, usul itu boleh dihalang bagi memberi laluan kepada urusan kerajaan yang menjadi keutamaan.
“Sudah tiba masanya Parlimen ini membuat peruntukan yang tertentu dan khusus bagi membolehkan undi tidak percaya di Parlimen.
“Ada dua perkara yang perlu ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat… pertama, ia harus dibuat dan kedua, ia harus dibuat secara sulit.
“Dalam Peraturan Mesyuarat ketika ini, ada dua keadaan di mana undi sulit boleh dilakukan, iaitu dalam pemilihan speaker dan timbalan-timbalan speaker.
“Jadi, peruntukan khusus ini perlu dibuat supaya undi tidak percaya diinstitusikan secara undang-undang dan dalam Peraturan Mesyuarat… dan saya minta jawatankuasa Dewan untuk melihat cadangan ini,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Tambahnya, cadangan itu bukan sahaja untuk persidangan Dewan Rakyat kali ini tetapi juga pada masa-masa akan datang.
“Saya tahu sekarang ini, speaker kata pembangkang boleh usulkan undi tidak percaya dan pastikan ia diangkat, selain ada Ahli Parlimen kerajaan kata jika pembangkang berani, boleh (diusulkan)… tapi kita berbeza pendapat dari segi itu.
“Kita melihat bukan hari ini. Semua itu datang sebab kerajaan berada dalam kedudukan selesa, ada majoriti dan dalam kedudukan undi bukan dibuat secara sulit.
“Jika mahu bercakap untuk memartabatkan Parlimen, bukan hanya untuk Parlimen kali ini tapi juga seterusnya,” katanya.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.