
KUALA LUMPUR | 17 Jun 26 — Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin mengimbau semula rekod pentadbiran ketika pandemik Covid-19 sambil mempertahankan peranan parti itu sebagai antara penggerak utama Perikatan Nasional (PN).
Ketika sidang medianya semalam, Muhyiddin berkata pengalaman mentadbir negara ketika krisis kesihatan global menjadi antara bukti bahawa PN dan BERSATU mempunyai rekod yang boleh dipertahankan di hadapan rakyat.
Menurut beliau, kerajaan yang diterajui ketika itu telah berjaya menyalurkan bantuan serta sokongan kepada rakyat dalam suasana yang mencabar.
“Mereka mengambil contoh waktu zaman Covid dulu, kitalah satu-satunya parti yang telah membentuk kerajaan dan terbukti memberikan bantuan dan pertolongan yang agak meluas,” katanya.
Muhyiddin berkata pengalaman tersebut turut menyumbang kepada penerimaan rakyat terhadap jenama PN yang dibina sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, gabungan itu kini mempunyai identiti dan pengaruh tersendiri hasil usaha yang digerakkan sejak awal penubuhannya.
“Sudah diterima secara baik oleh masyarakat Malaysia bahawa inilah parti yang memperjuangkan nasib rakyat Malaysia.
“Perkataan Perikatan Nasional adalah satu jenama yang baik yang kita mula tajakan,” katanya.
Dalam masa sama, Muhyiddin turut mempertahankan kedudukan BERSATU dalam PN dengan menegaskan parti itu memainkan peranan penting dalam pembentukan gabungan berkenaan.
Beliau mengingatkan bahawa BERSATU merupakan antara pihak yang memulakan gerakan tersebut dan telah menggerakkan pelbagai usaha untuk membangunkan PN sehingga diterima oleh masyarakat.
“Sejak tertubuh pun kita yang mulakan gerakan itu dan kita telah menggerakkan segala usaha kita dalam tempoh beberapa tahun yang lalu,” katanya.
Beliau turut menegaskan BERSATU akan terus kekal sebagai anggota PN dan tidak boleh disingkirkan secara sewenang-wenangnya kerana perkara itu tertakluk kepada peruntukan serta konsensus yang ditetapkan dalam perlembagaan gabungan tersebut.
“Malam ini ditegaskan lagi oleh Majlis Tertinggi, kita akan terus kekal sebagai anggota Perikatan Nasional.
“Tidak ada mana-mana pihak pun yang boleh mengambil tindakan untuk menyingkirkan BERSATU,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin mengesahkan BERSATU akan bertanding menggunakan logo PN dalam pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus memberi isyarat bahawa kerjasama politik dalam gabungan itu masih diteruskan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.