
PARLIMEN | 6 Okt 26 – “Kami bukan mahu membalun, kami mahu membantu.” Itu penegasan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika mempersoalkan tahap kepimpinan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani isu keselamatan dan kematian pelajar yang disifatkannya semakin meruncing.
Saifuddin berkata, apa yang menjadi persoalan bukan usaha guru dan pegawai pendidikan yang menurutnya bekerja keras, tetapi tahap ‘sense of urgency’ dan kepimpinan dalam menangani isu yang berulang.
“Yang kami terkilan, Yang Berhormat, ialah semacam ada kekurangan sense of urgency atau leadership. Saya tak nak sebutlah siapa, Yang Amat Berhormat pun faham,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Saifuddin, Ahli Parlimen di kedua-dua belah Dewan sama-sama mengambil berat mengenai keselamatan pelajar dan telah mengemukakan pelbagai cadangan, termasuk rondaan, SOP, CCTV, kawalan sistem keluar masuk sekolah, penambahan guru kaunseling dan audit keselamatan.
Namun katanya, apa yang diperlukan ialah kesediaan untuk menerima teguran dan cadangan, bukannya menganggapnya sebagai usaha untuk mengganggu sekolah atau guru.
“Yang kami dapat, saya nak beritahu Yang Berhormat, yang kami dapat ialah ungkapan, jangan ganggu kami, jangan usik sekolah kami, jangan usik guru kami… come on,” katanya.
Saifuddin berkata, beliau memahami bahawa isu keselamatan sekolah bukan perkara mudah dan pihaknya tidak berniat menyalahkan sesiapa.
Sebaliknya, beliau berkata, pelbagai cadangan telah disampaikan termasuk melalui dokumen bertajuk reformasi pendidikan yang diserahkan kepada kedua-dua Menteri Pendidikan dan turut dibahaskan di Dewan Rakyat.
Beliau turut membangkitkan beberapa kes terdahulu bagi menjelaskan mengapa beliau mempersoalkan tahap kesegeraan KPM.
Dalam kes Zara, Saifuddin berkata beliau bangun di Dewan Rakyat pada 30 Julai 2025 dan mengemukakan lapan soalan, termasuk tiga soalan berkaitan sekolah, namun mendakwa tiada satu pun dijawab.
“Isu buli. Semasa perbahasan RMK-13, lebih 10 orang MP berbahas, dari sebelah sana dan di sebelah sini, mungkin 15 orang. Ketika penggulungan, tak jawab,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kes Sofia dan berkata beliau sebelum ini meminta Menteri Pendidikan memberikan kenyataan di Dewan Rakyat, namun Perdana Menteri tampil menjawab perkara tersebut semalam.
“Jadi adalah sedikit maklumat yang dapat kami terima,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata terdapat kes kematian di sekolah yang mungkin tidak mempunyai kaitan dengan buli, manakala sebahagian yang lain mungkin mempunyai kaitan dengan buli, selain kes kecederaan yang tidak membawa kepada kematian.
“Pokoknya dia semakin meruncing akhir-akhir ini,” katanya sambil meminta kerajaan menyediakan data terperinci mengenai jumlah kematian pelajar mengikut punca.
Beliau turut merujuk kenyataan Ketua Polis Negara yang mengingatkan supaya isu keselamatan di sekolah tidak disembunyikan demi menjaga nama baik kerana tindakan sedemikian boleh menyukarkan usaha polis menangani sesuatu kejadian.
Saifuddin kemudian meminta Perdana Menteri memantau perkara tersebut dengan lebih dekat, sambil menegaskan bahawa teguran Ahli Parlimen perlu dilihat sebagai usaha membantu kerajaan memperbaiki sistem keselamatan sekolah.
“Kami bukan mahu membalun, kami mahu membantu,” katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.