
KUALA LUMPUR | 17 Jun 26 — Mantan Exco Armada Pusat, Meor Naqiuddin Shamsudin mendakwa Datuk Dr Marzuki Mohamad cuba “menyorokkan fakta sebenar” dalam perbahasan mengenai kuasa membuat keputusan dalam Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan itu dibuat susulan hantaran Marzuki yang membincangkan peruntukan Perlembagaan PN berkaitan kuasa Majlis Presiden dan kedudukan parti-parti komponen dalam gabungan tersebut.
Menurut Meor, terdapat dua perkara utama yang dibangkitkan oleh Marzuki, iaitu berkaitan kuasa membuat keputusan mengenai tindakan disiplin parti anggota dan ketetapan kerusi pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa rujukan yang dibuat oleh Marzuki tidak memberikan gambaran sebenar mengenai struktur kuasa dalam PN.
“Saya fikir Datuk Dr. Marzuki Mohamad tidak jujur dalam memberi pandangan beliau berkenaan hal ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Meor berkata, bagi isu tindakan tatatertib melibatkan parti anggota, peruntukan yang perlu dirujuk terlebih dahulu ialah Fasal 15 dan bukannya Fasal 7A seperti yang dihujahkan oleh Marzuki.
“Berkenaan perkara pertama. Fasal yang perlu dirujuk bukanlah Fasal 7A. Apabila berlakunya suatu tindakan tatatertib, Fasal 15 perlu dirujuk terlebih dahulu. Ini termasuk perkara yang melibatkan perihal Parti Anggota,” katanya.
Beliau turut mempertikaikan hujah berkaitan kuasa menentukan kerusi pilihan raya yang menurutnya perlu dilihat berdasarkan Fasal 8.1, Fasal 8.3 dan Fasal 13 Perlembagaan PN.
Menurut Meor, peruntukan tersebut menyebut bahawa Majlis Tertinggi merupakan badan tertinggi dalam PN, manakala Pengerusi PN adalah ketua kepada majlis berkenaan dan keputusan boleh dibuat secara majoriti ahli Majlis Tertinggi.
“Tidak ada disebut tentang had kuasa Majlis Tertinggi mahupun kuasa mutlak Pengerusi Perikatan Nasional ataupun kuasa Majlis Presiden,” katanya.
Meor seterusnya mendakwa Marzuki gagal menjelaskan peranan sebenar Majlis Presiden sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan itu.
“Saya fikir Datuk Dr. Marzuki cuba menyorokkan fakta sebenar bahawa Majlis Presiden dibawah Fasal 7A hanya bertindak dalam urusan membuat keputusan HANYA apabila Majlis Tertinggi putuskan untuk merujuk perkara-perkara berkaitan dasar, disiplin parti anggota dan apa-apa perkara khas serta HANYA jika JK Rundingan Kerusi merujuk hal berkaitan ketetapan kerusi pilihanraya kepada mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Majlis Presiden tidak mempunyai keperluan untuk campur tangan sekiranya Majlis Tertinggi berjaya mencapai keputusan melalui majoriti ahli sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 13.
“Dalam bahasa mudahnya, jika Majlis Tertinggi Perikatan boleh capai keputusan majoriti, tiada ‘dispute’ sehingga tiada keputusan dapat dicapai dibawah Fasal 13, maka Majlis Presiden tidak ada keperluan untuk membuat keputusan. As simple as that,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Meor turut menyentuh isu pelantikan Ketua Pembangkang dengan mempertahankan tindakan PAS memilih Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi jawatan tersebut.
Menurutnya, keputusan Majlis Tertinggi PN pada April 2026 telah memberikan ruang kepada PAS untuk membuat keputusan berhubung jawatan berkenaan memandangkan parti itu mempunyai jumlah kerusi terbanyak dalam gabungan tersebut.
“Maka, bukanlah sesuatu yang ganjil, jika keputusan itu diserahkan kepada PAS, maka Presidennya yang buat keputusan. Tidak disebut calon Ketua Pembangkang perlu dari PAS. Yang dicapai hanyalah pilihan dari PAS,” katanya.
Bekas pegawai kepada Presiden Bersatu, Marzuki Mohamad berkata, Bersatu tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya daripada Perikatan Nasional (PN), tambah beliau Fasal 7A Perlembagaan PN memperuntukkan hanya majlis itu yang dianggotai Presiden parti anggota mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad berhubung perkara disiplin melibatkan komponen. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.