MP Gesa UMS Henti Prosiding Tatatertib Terhadap Aktivis Mahasiswa

KUALA LUMPUR | 3 Julai 26 Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghentikan prosiding tatatertib ke atas dua aktivis mahasiswa yang didakwa terlibat dalam isu berkaitan perhimpunan dan aktiviti anti-rasuah.

Beliau berkata, kedua-dua pelajar berkenaan hadir menyerahkan surat bantahan berkaitan tindakan universiti itu melalui Sekretariat Mansuhkan AUKU, yang diserahkan kepada beliau serta pihak Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurutnya, pelajar terbabit dijadualkan berdepan prosiding Lembaga Tatatertib di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 21 Julai, dengan seorang daripadanya berdepan lima pertuduhan manakala seorang lagi tiga pertuduhan.

“Tuduhan itu semuanya berkaitan kehadiran dalam perhimpunan aman, penulisan serta poster yang diedarkan, termasuk cadangan mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu rasuah,” katanya dalam satu hantaran video, semalam.

Saifuddin berkata, tindakan terhadap mahasiswa yang terlibat dalam aktivisme perlu dilihat dalam konteks kebebasan bersuara dan keterlibatan anak muda dalam isu keadilan serta integriti.

Beliau turut menyifatkan penglibatan tersebut sebagai sebahagian daripada semangat aktivisme yang wajar dihargai, bukannya disekat melalui tindakan tatatertib.

Menurutnya, pindaan AUKU sebelum ini pada 2012 telah membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa, termasuk membolehkan mereka terlibat dalam politik dan pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan yang diambil UMS terhadap mahasiswa terbabit dan menyifatkan ia bercanggah dengan semangat reformasi undang-undang berkenaan.

“Saya mendesak dan menggesa UMS untuk menghentikan atau membatalkan prosiding Lembaga Tatatertib ke atas kedua-dua mahasiswa ini,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share