
KUALA LUMPUR, 25 Jun 2025 – Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa hutang negara melonjak RM197.7 bilion sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada Disember 2022.
Beliau berkata, angka ini berdasarkan data rasmi Kementerian Kewangan yang menunjukkan jumlah keseluruhan hutang negara meningkat kepada RM1.2476 trilion setakat Mac 2025.
“Meskipun Anwar cuba memperindah keadaan dengan menyatakan hutang negara berkurang RM20 bilion, hakikatnya hutang terus meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kenyataan Anwar itu mengelirukan rakyat kerana apa yang berkurang hanyalah jumlah pinjaman baharu, bukan keseluruhan hutang negara.
“Kerajaan hanya meminjam RM20 bilion kurang daripada yang dirancang, bukan bermaksud hutang negara berkurang. Hutang tetap naik, kini hampir mencecah RM1.3 trilion,” ujarnya.
Dominic turut mempersoal mekanisme yang digunakan kerajaan sehingga kononnya berjaya mengurangkan keperluan meminjam RM20 bilion.
“Adakah ini hasil peluasan cukai SST, pemotongan subsidi atau pengurangan lawatan kerja ke luar negara?” soalnya.
Beliau menegaskan kerajaan perlu bersikap jujur dan berterus terang kepada rakyat mengenai situasi sebenar hutang negara.
Katanya, Anwar sebagai pemimpin wajar berpegang kepada prinsip ketelusan dan tidak menyembunyikan fakta demi meraih pujian.
“Hutang negara tidak akan turun hanya kerana pinjaman baharu berkurang. Rakyat berhak tahu keadaan sebenar,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.