Speaker Wajib Hormati Peraturan 4A(3), Hamzah Kekal Ketua Pembangkang – Ronald

KUALA LUMPUR | 18 Jun 26 – Speaker Dewan Rakyat perlu membuat penentuan mengenai jawatan Ketua Pembangkang berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan bukannya terikat kepada ketetapan dalaman mana-mana parti politik, kata Ahli Parlimen Beluran, Datuk Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, berdasarkan Peraturan 4A(3), seseorang Ahli Parlimen diiktiraf sebagai Ketua Pembangkang kerana memimpin keseluruhan blok pembangkang di Dewan Rakyat, bukannya berdasarkan jawatan atau kedudukan dalam sesebuah parti.

Menurut Ronald, pengumuman Presiden PAS pada Konvensyen RESET Malaysia baru-baru ini telah menjelaskan kedudukan sebenar Datuk Seri Hamzah Zainudin yang terus mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang.

“Kenyataan tersebut memberikan legitimasi kepada YB Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang dengan sokongan majoriti secara kolektif yang jelas daripada blok Ahli Parlimen pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa sokongan en-bloc Ahli Parlimen PAS terhadap Hamzah bukan sekadar pendirian politik, sebaliknya mencerminkan komitmen untuk memperkukuhkan fungsi semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara.

Ronald berkata, amalan demokrasi berteraskan sistem Westminster yang diamalkan di Malaysia dan negara-negara Komanwel menetapkan bahawa jawatan Ketua Pembangkang ditentukan oleh sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang, bukannya keputusan dalaman sesebuah parti politik.

“Dalam situasi hubungan politik semasa antara PAS dan Bersatu, kedudukan Ketua Pembangkang sewajarnya ditentukan oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang sendiri,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada Peraturan 4A(4) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menentukan secara muktamad Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti dalam kalangan blok pembangkang.

Justeru, Ronald berpandangan Speaker mempunyai tanggungjawab untuk menghormati dan melaksanakan peruntukan tersebut dalam membuat sebarang keputusan berkaitan jawatan Ketua Pembangkang.

Menurut beliau, Hamzah bukan sahaja mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen PAS secara en-bloc, malah terus memperoleh sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen Bersatu sendiri.

“Atas asas itu, kedudukan beliau sebagai Ketua Pembangkang adalah utuh dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana ketetapan dalaman parti,” katanya.

Kenyataan Ronald memberi isyarat bahawa isu tersebut perlu diputuskan mengikut peraturan Dewan Rakyat dan bukannya percaturan politik kepartian. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

MKN Perkemas SOP Latihan Ketenteraan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menegaskan bahawa pelaksanaan latihan ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus dilaksanakan secara profesional, terancang dan mematuhi segala prosedur keselamatan termasuk aspek pemeliharaan alam sekitar serta sensitiviti masyarakat setempat.
Read More
Total
0
Share