
KUALA LUMPUR |18 Jun 26 – Pelantikan seorang bekas anggota badan kehakiman sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMC) adalah selaras dengan tradisi antarabangsa dan keperluan untuk memastikan kebebasan serta kredibiliti profesion kewartawanan, kata tokoh akademik media, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican.
Beliau berkata, timbul persoalan daripada sesetengah pihak mengenai kewajaran seorang bekas hakim mengetuai mekanisme kawal selia kendiri media berbanding seorang pengamal kewartawanan, namun perkara itu bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sejarah penubuhan majlis media.
Menurutnya, cadangan awal penubuhan Majlis Media Malaysia pada tahun 2001 sendiri mencadangkan seorang hakim Mahkamah Tinggi yang telah bersara sebagai pengerusi badan tersebut.
“Ketika itu, Allahyarham Tun Harun Hashim juga telah menyuarakan pandangan penting mengenai keperluan sebuah majlis akhbar di Malaysia,” katanya.
Ahmad Murad menjelaskan bahawa kewartawanan sentiasa berdepan cabaran untuk menyeimbangkan objektiviti, kenetralan dan hubungan antara media dengan negara, sekali gus memerlukan kefahaman mendalam mengenai prinsip perundangan dan tadbir urus.
Beliau berkata, peranan MMC bukan sekadar menjadi badan aduan media, sebaliknya berfungsi mentakrifkan kewartawanan sebagai satu profesion yang mempunyai standard, etika dan tanggungjawab sosial yang jelas.
Menurutnya, MMC perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kredibiliti profesion dengan menguatkuasakan standard kewartawanan yang tinggi serta mewujudkan garis pemisah yang jelas antara kewartawanan profesional dan kandungan yang dihasilkan pengguna media sosial.
“MMC juga perlu membezakan antara laporan berita, ulasan editorial, pandangan dan esei kewartawanan supaya integriti profesion terus terpelihara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa antara tanggungjawab utama majlis itu adalah menginstitusikan prinsip objektiviti melalui kod etika dan tatakelakuan, di samping melindungi profesion kewartawanan daripada campur tangan politik atau negara.
Ahmad Murad berkata, amalan melantik hakim bersara sebagai pengerusi majlis media telah lama menjadi tradisi dalam pelbagai negara kerana golongan tersebut mempunyai pengalaman untuk mengimbangi kepentingan profesional, kepentingan awam dan kepentingan negara.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kewartawanan tidak pernah benar-benar bebas daripada pengaruh sosial, politik dan ideologi, justeru mekanisme kawal selia kendiri yang berasaskan prinsip perundangan amat penting bagi memastikan media kekal bebas dan diyakini masyarakat.
Beliau turut mencadangkan supaya pindaan masa depan terhadap Akta Majlis Media Malaysia memasukkan kod etika dan tatakelakuan kewartawanan secara lebih jelas dalam peruntukan undang-undang.
“Majlis Media Malaysia mesti dilihat sebagai badan yang mengawal selia satu profesion, bukannya sekadar mengurus sebuah industri,” katanya.
Terdahulu, Majlis Media Malaysia (MMC) mengumumkan pelantikan Tan Sri Nallini Pathmanathan sebagai pengerusinya.
Menurut majlis itu, pelantikan tersebut dipersetujui sebulat suara oleh ahli-ahli lembaga pengarah dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Mei lalu.
Nallini bersara daripada Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Februari 2026 selepas berkhidmat selama 18 tahun dalam badan kehakiman negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.