
KUALA LUMPUR | 19 Jun 26 — “Secara ikhlas dan jujur, tanpa berselindung langsung, Dr Radzi Jidin adalah seorang pemimpin yang bagus dan ahli Parlimen yang bagus.”
Namun di sebalik pujian itu, aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard melontarkan satu persoalan lebih besar apabila menyifatkan bekas Menteri Pendidikan itu sebagai pemimpin yang berada dalam “kelompok yang salah dan waktu yang salah”.
Menurut Chegubard, kelemahan yang berlaku bukan berpunca daripada kemampuan atau karakter Radzi, sebaliknya beliau dilihat sebagai “mangsa keadaan” akibat pilihan langkah politik yang dibuat.
Kenyataan itu menarik perhatian kerana Chegubard tidak menyerang peribadi Radzi, malah mengakui kemampuan beliau sebagai seorang pemimpin dan wakil rakyat.
Sebaliknya, mesej utama yang cuba disampaikan ialah persoalan mengenai platform politik yang dipilih oleh seseorang pemimpin.
“Beliau dianggap sebagai mangsa keadaan kerana silap pilih langkah. Simpati kepada beliau,” kata Chegubard.
Pandangan tersebut membuka satu dimensi baharu dalam perbincangan mengenai kedudukan Radzi dalam landskap politik semasa.
Radzi sebelum ini muncul sebagai salah seorang pemimpin muda berprofil nasional selepas memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan, termasuk Menteri Pendidikan.
Namun perubahan landskap politik, termasuk pergolakan dalaman parti dan persaingan dalam blok politik Melayu, menjadikan kedudukan ramai pemimpin turut berubah.
Kenyataan Chegubard itu secara tidak langsung membawa persoalan sama ada cabaran yang dihadapi sesetengah tokoh politik hari ini berpunca daripada kelemahan individu, atau kerana mereka berada dalam struktur politik yang tiada ada pilihan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.