
KUALA LUMPUR | 19 Jun 26 — Pelantikan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dijangka membawa perubahan baharu dalam susunan politik di Dewan Rakyat, termasuk kedudukan tempat duduk pimpinan utama pembangkang.
Aktivis RESET, Syed Hassan Syed Ali berkata, jika Samsuri mengambil alih jawatan Pengerusi PN, beliau dijangka akan duduk di sebelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Parlimen.
Menurut beliau, kedudukan itu selari dengan amalan sebelum ini apabila Pengerusi PN berada berhampiran Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
“Sebelum ini Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN duduk sebelah Ketua Pembangkang. Sekarang siapa Pengerusi PN, beliau akan duduk sebelah Ketua Pembangkang iaitu Hamzah,” katanya kepada politiko.
Syed Hassan berkata, perubahan tersebut menunjukkan kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang masih kekal penting walaupun berlaku perubahan struktur kepimpinan dalam PN.
Beliau turut menyifatkan Hamzah sebagai antara tokoh utama yang memainkan peranan dalam menguruskan konflik dalaman PN, termasuk hubungan antara Bersatu dan PAS.
“Tengok masalah PAS dengan Bersatu bagaimana ia diselesaikan. Ini semua dengan kerjasama pandangan dan buah fikiran Hamzah sendiri,” katanya.
Menurut beliau, keputusan PN mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang memberi isyarat bahawa gabungan itu masih melihat beliau sebagai figura penting dalam menghadapi kerajaan.
“Hamzah kekal di kerusinya. Kalau Samsuri jadi pengerusi PN, beliau akan duduk sebelah Ketua Pembangkang seperti mana sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, susunan baharu itu juga menunjukkan PN sedang memasuki fasa baharu dengan pembahagian peranan yang lebih jelas antara kepimpinan parti dan peranan pembangkang di Parlimen.
Ketika konvensyen RESET Malaysia minggu lalu, Presiden PAS membuat pengumuman bahawa PN mengembalikan mandat Hamzah sebagai Ketua Pembangkang Parlimen setelah mendapat persetujuan majoriti ahli parlimen pembangkang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.