
KUALA LUMPUR | 20 Jun 26 — Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla menegaskan isu berkaitan larangan pengembangan agama lain kepada orang Islam bukan sekadar soal peraturan atau undang-undang biasa, sebaliknya melibatkan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Menurut beliau, perkara itu telah diperuntukkan secara jelas di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penyebaran doktrin atau kepercayaan agama lain kepada orang yang menganuti agama Islam.
“Ini bukan soal regulasi, bukan soal kanun keseksaan, bukan soal enakmen syariah semata-mata. Ia adalah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada politiko.
Ketika mengulas isu bantahan daripada pemimpin DAP berhubung satu poster yang dikaitkan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengenai pendaftaran saudara baharu/mualaf, Haniff berkata, mana-mana pihak yang mempertikaikan perkara tersebut perlu memahami bahawa peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada kerangka asas Perlembagaan yang telah dipersetujui sejak pembentukan negara.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan pihak tertentu yang menyifatkan peruntukan itu sebagai tidak adil atau berat sebelah, sambil menyatakan bahawa seseorang yang mendakwa menjunjung Perlembagaan perlu menerima keseluruhan kandungannya.
“Kalau kata hormat Perlembagaan, maka peruntukan dalam Perlembagaan juga perlu dihormati. Tidak boleh apabila sesuatu peruntukan tidak selari dengan pandangan sendiri, ia kemudian dianggap berat sebelah,” katanya.
Menurut beliau, Perlembagaan juga mengandungi pelbagai peruntukan yang memberi kedudukan tertentu kepada perkara tertentu, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta perkara berkaitan institusi Raja-Raja.
Katanya, kewujudan peruntukan khas tidak semestinya bermaksud berlaku diskriminasi, kerana ia adalah sebahagian daripada susunan perlembagaan negara.
“Tidak semua perkara boleh dinilai semata-mata berdasarkan konsep berat sebelah. Dalam Perlembagaan kita memang ada peruntukan yang memberikan kedudukan dan perlindungan tertentu,” katanya.
Haniff menjelaskan, kedudukan Perkara 11(4) juga berkait dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman.
Menurut beliau, larangan pengembangan agama lain kepada orang Islam adalah dilihat sebagai mekanisme perlindungan terhadap kedudukan tersebut.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan pendekatan yang dianggapnya terlalu dipengaruhi perspektif luar dalam menilai Perlembagaan Malaysia.
“Kalau kita kata kita menjunjung Perlembagaan, maka kita kena hormati keseluruhan Perlembagaan, bukan hanya bahagian yang kita setuju sahaja,” katanya.
Merujuk kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi:
“Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.