Kerajaan MADANI tidak boleh pada satu masa melaungkan agenda penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera melalui PuTERA35, tetapi pada masa yang sama menghapuskan satu mekanisme pemilikan Bumiputera tanpa menawarkan instrumen gantian yang lebih berkesan.
Tindakan seperti ini bukan sekadar tidak konsisten, malah berisiko melumpuhkan matlamat PuTERA35 melalui dasar kerajaan sendiri.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan bahawa syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta di bawah kawal seliaannya.
Persoalannya bukan semata-mata sama ada syarat lama itu sempurna atau tidak. Persoalan yang lebih besar ialah, apakah hala tuju sebenar dasar ekonomi Bumiputera kerajaan apabila instrumen pemilikan dikurangkan sedangkan sasaran pemilikan masih belum tercapai?
PuTERA35 sendiri menetapkan hala tuju yang jelas. Dokumen rasmi kerajaan menyatakan bahawa pelan itu bertujuan memperkukuhkan Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan Bumiputera, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.
Ia turut mensasarkan pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat Bumiputera meningkat daripada 18.4 peratus pada 2020 kepada 30 peratus menjelang 2035.
Dalam keadaan itu, keputusan untuk menghapuskan satu mekanisme pemilikan Bumiputera tanpa terlebih dahulu mengemukakan mekanisme gantian menimbulkan percanggahan dasar yang nyata.
Kerajaan tidak boleh mengukur kejayaan PuTERA35 melalui pertambahan pemilikan ekuiti, tetapi pada masa sama mengecilkan ruang yang menyediakan penyertaan tersebut.
Hakikatnya, kedudukan pemilikan Bumiputera masih belum berada pada tahap yang membolehkan kerajaan menganggap agenda ini telah selesai. Dokumen PuTERA35 sendiri merekodkan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera pada 2020 sebanyak 18.4 peratus, jauh daripada sasaran 30 peratus.
Ini bermakna masalah kita bukan terlebih pemilikan. Masalah kita masih kekurangan pemilikan dan penguasaan ekonomi.
Saya bersetuju bahawa sektor pendidikan perlu kekal terbuka kepada semua. Pengusaha bukan Bumiputera yang membangunkan institusi pendidikan melalui modal, kepakaran dan risiko mereka sendiri mesti dihormati.
Tetapi keterbukaan tidak seharusnya membawa maksud pengunduran daripada agenda penyertaan Bumiputera. Kedua-dua matlamat boleh bergerak serentak jika dasar dirangka dengan baik.
Malah, perdebatan mengenai 30 peratus ini tidak sepatutnya terhenti pada angka. Yang lebih penting ialah kualiti pemilikan. Jika syarat lama hanya melahirkan pemegang saham pasif atau amalan “Ali Baba”, maka mekanisme itu perlu diperbaiki.
Pemilikan Bumiputera mestilah mempunyai substans sebenar melalui modal, hak mengundi, penyertaan lembaga pengarah, akses kepada keputusan korporat, perkongsian risiko dan pembangunan keupayaan.
Jika formula lama tidak lagi berkesan, kerajaan sepatutnya menggantikannya dengan model yang lebih baik. Antara pilihan yang boleh dinilai ialah pegangan strategik oleh usahawan pendidikan Bumiputera sebenar, dana pengambilalihan ekuiti, skim padanan modal, pembangunan francais pendidikan Bumiputera, perkongsian strategik serta sasaran pemilikan secara berperingkat mengikut saiz institusi. Reformasi sepatutnya memperkukuh objektif dasar, bukan mengosongkannya.
Pendidikan swasta juga bukan sekadar bilik darjah dan pusat tuisyen. Ia merupakan sebuah ekosistem ekonomi yang merangkumi teknologi pendidikan, penerbitan, kandungan digital, latihan profesional, hartanah, francais dan pembangunan modal insan.
Dalam ekonomi berasaskan ilmu, pemilikan dalam sektor pendidikan adalah sebahagian daripada pemilikan kekayaan masa hadapan.
Sebab itu persoalan yang lebih penting bukan hanya sama ada syarat 30 peratus perlu dikekalkan dalam bentuk asalnya. Persoalannya ialah: berapa besar bahagian Bumiputera dalam pemilikan dan penguasaan keseluruhan ekosistem pendidikan swasta menjelang 2035?
Jika kerajaan mahu memansuhkan satu instrumen, kerajaan mesti menunjukkan instrumen yang lebih berkesan untuk mencapai matlamat yang sama.
Saya tidak mempertahankan sesuatu dasar hanya kerana ia telah lama wujud. Tetapi liberalisasi juga tidak semestinya bermaksud reformasi.
Reformasi sebenar ialah apabila mekanisme yang lemah digantikan dengan mekanisme yang lebih baik, bukan apabila sesuatu instrumen dibuang tanpa alternatif yang lebih berkesan.
Justeru, kerajaan perlu menjelaskan bukan sahaja mengapa syarat ini dimansuhkan, tetapi apakah model baharu yang akan memastikan pemilikan dan penguasaan Bumiputera terus berkembang selepas pemansuhan tersebut. Jika tiada mekanisme gantian, kerajaan sendiri sedang melemahkan instrumen yang diperlukan untuk mencapai sasaran PuTERA35.
Dalam keadaan dasar diumumkan untuk memperkukuh Bumiputera tetapi pada masa yang sama instrumen pemilikan pula dikurangkan, Kerajaan MADANI memberi gambaran seolah-olah agenda Bumiputera tidak ditangani dengan kesungguhan dan konsistensi yang sepatutnya.
Kerajaan tidak boleh membina PuTERA35 dengan satu tangan, kemudian melumpuhkannya dengan dasar yang dibuat oleh tangan yang lain.
Jika mekanisme 30 peratus tidak berkesan, perbaiki. Jika sudah lapuk, gantikan. Tetapi jangan hapuskan ruang pemilikan Bumiputera tanpa membina sesuatu yang lebih baik untuk mengambil tempatnya.
Dr Armin Baniaz Pahamin Presiden, Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM)
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.