AGC: MMKN Tiada Kuasa Gantung Tugas SUK, Penasihat Undang-Undang

PUTRAJAYA | 23 Sep 26 – Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Pendirian itu dinyatakan AGC menerusi kenyataan media bertarikh 22 September 2026, susulan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan berhubung penggantungan tugas kedua-dua penyandang jawatan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut AGC, perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas bagi kedua-dua jawatan tersebut masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

AGC berkata perkara itu sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

“Jabatan ini berpandangan bahawa MMK Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang kedua-dua jawatan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, AGC turut menjelaskan bahawa sekiranya berlaku pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu, proses tersebut hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS.

Pelantikan berkenaan hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengumumkan penggantungan tugas SUK, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta selepas mesyuarat khas MMK.

Ismail turut mengumumkan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali akan menjalankan tugas SUK sehingga penyandang baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara, manakala peguam bela dan peguam cara, Fahmi Adilah akan menjalankan tugas memberikan nasihat perundangan sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri baharu dinamakan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share