
KUALA LUMPUR, 12 Jul 25 – Cadangan pembentukan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) bertujuan memastikan PN lebih mantap dan cergas, selain menjadi mekanisme mengelakkan pentadbiran yang terlalu berpusat kepada Pengerusi, kata seorang pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan.
Menurut beliau, menerusi Majlis Presiden tersebut, sebarang isu dasar boleh dibincangkan secara mendalam antara presiden parti komponen, termasuk isu-isu yang melibatkan beberapa jawatan penting yang perlu mendapat sokongan dari parti komponen. Manakala urusan operasi diserahkan kepada Jawatankuasa Eksekutif agar PN dapat bertindak menangani sesuatu isu dengan lebih pantas.
Beliau memberi contoh, ketika ini perlantikan jawatan-jawatan penting dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN tanpa berbincang dengan parti komponen lain.
“Kuasa pengerusi PN (terlalu) besar. Lantikan jawatan penting, contohnya Ketua Penerangan, kita tahu Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) tak berapa berfungsi. Termasuk juga pelantikan Bendahari, sekarang kosong lagi. Itu semua dilakukan pengerusi PN tanpa berbincang dengan presiden parti komponen.
“Kalau ada satu lagi lapisan (Majlis Presiden), mestilah kumpul semua suara presiden-presiden parti komponen untuk buat keputusan” katanya.
Sumber itu turut memaklumkan politiko.my bahawa, “Baru-baru ini ada respon daripada rakyat tentang pembangkang tidak terkehadapan bila banyak isu berlaku. Tapi tiada keputusan yang jelas dalam pimpinan PN.”
Sumber tersebut yakin bahawa penubuhan Majlis Presiden akan memperkukuh demokrasi dan memperbaiki urustadbir dalaman PN lantas memastikan organisasi dan operasi PN itu sendiri menjadi lebih teratur dalam menyahut rungutan rakyat dan membawa kemenangan dalam pilihanraya.
Baru-baru ini, media melaporkan bahawa PAS telah mengemukakan cadangan kepada Perikatan Nasional untuk menubuhkan Majlis Presiden untuk memperkukuhkan operasi dan pengurusan PN. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.