Vape & Dadah Sintetik: Pemuda Pas Selangor Desak Kerajaan Negeri Bertindak Tegas

SHAH ALAM | 22 Jun 26 — Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas terhadap penjualan vape susulan pendedahan mengenai risiko penyalahgunaan cecair vape sebagai medium pengedaran dadah sintetik.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya menyokong pendedahan dan amaran Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung penyalahgunaan produk vape yang semakin membimbangkan, khususnya melibatkan golongan remaja dan belia.

Menurut beliau, isu vape kini tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai masalah kesihatan awam atau tabiat merokok, sebaliknya telah berkembang menjadi ancaman terhadap keselamatan sosial apabila cecair vape berpotensi dicampur dengan bahan narkotik jenis New Psychoactive Substances (NPS).

“Pendedahan ini membuktikan isu vape telah berubah menjadi ancaman serius terhadap kesejahteraan generasi muda dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pemuda PAS Selangor kecewa dengan kelewatan kerajaan negeri mengambil langkah lebih segera bagi mengawal atau menyekat penjualan vape walaupun kebimbangan mengenai perkara itu telah disuarakan pelbagai pihak sejak sekian lama.

Katanya, beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis, Johor dan Pahang telah mengambil pendekatan lebih proaktif dengan menyekat atau mengharamkan penjualan vape melalui kuasa pelesenan pihak berkuasa tempatan.

“Langkah tersebut menunjukkan tindakan pentadbiran boleh dilaksanakan sekiranya wujud iltizam politik untuk melindungi rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor menggesa Menteri Besar Selangor serta Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar mengambil pendirian lebih berani dalam isu berkenaan.

Menurut Muhammad Faizzuddin, kepentingan melindungi generasi muda daripada ancaman dadah sintetik perlu diberi keutamaan berbanding sebarang pertimbangan lain yang boleh melambatkan tindakan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share